Thursday, October 27, 2011

Panduan Lengkap Awal Zulhijjah


Oleh: Abdullah Hussen, Mahasiswa Sarjana, Kuliah Dar Ulum, Universiti Kaherah

Siang dan malam silih berganti, tahun demi tahun kian berlalu, seorang mukmin itu sentiasa mengharap rahmat tuhannya dan takutkan azabnya, imannya sentiasa turun dan naik, semangatnya terkadang membara dan ada ketikanya menjadi lesu. Dalam keadaan itu, dia dilimpahi rahmat Allah yang sangat luas, untuk mengukuhkan imannya dan meningkatkan semangatnya. Musim kebaikan menjelma demi menghapuskan segala dosa-dosanya yang lalu dan demi mengangkat darjatnya. Maka, orang yang berbahagia ialah mereka yang merebut peluang ini dan menghampirkan dirinya kepada Allah SWT dengan amal-amal soleh dalam musim ketaatan ini. Mudah-mudahan dia mendapat limpahan kurniaan-kurniaan Allah SWT sepertimana yang telah dijanjikan.

Antara kurniaan terbesar Allah SWT pada sepuluh hari pertama Zulhijjah ialah sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

“Tiada hari-hari di mana amal soleh di dalamnya lebih dicintai oleh Allah SWT selain sepuluh hari ini (sepuluh hari pertama Zulhijjah)”. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah! Adakah jihad juga tidak dapat menandingi pahala amalan pada sepuluh hari tersebut?” Rasulullah SAW menjawab, “Tidak, kecuali seorang lelaki yang keluar dengan diri dan hartanya lalu tidak membawa pulang sedikit pun daripada kedua-duanya.”

Sekarang kita sedang berada di dalam hari-hari yang penuh berkat, telah datang kepada kita hari-hari yang muncul bersamanya kurniaan yang mulia dari Tuhan yang mulia, yang memupuk rasa rindu dan cinta dalam jiwa umat Islam, lalu bergetarlah hati mereka dan membuak-buaklah perasaan mereka, lalu perasaan tersebut memimpin mereka ke arah ketaatan dan ibadah kepada tuhan mereka.

Waktu yang paling dicintai oleh Allah

Hari-hari ini merupakan masa yang paling dicintai oleh Allah SWT, lalu amal soleh di dalamnya merupakan amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT kerana ia berada di dalam masa yang terbaik yang disumpah oleh Allah SWT dengannya di dalam Al-Quran:

“Demi waktu fajar. Demi malam-malam yang sepuluh.”

Kemuliaan tersebut juga disebabkan kerana terdapatnya hari yang terbaik di dalamnya iaitu Hari Arafah yang juga kerana perhimpunan tahunan umat Islam seluruh dunia pada musim haji. Maka, hari-hari tersebut merupakan hari terkumpulnya ibadah-ibadah utama. Ibnu Hajar pernah berkata, “Sebab istimewanya sepuluh hari pertama Zulhijjah ialah kerana terkumpulnya ibadah-ibadah utama di dalamnya iaitu solat, puasa, sedekah, haji dan sebagainya yang tidak berlaku pada waktu lain.”

Kemuliaan ini juga kerana hari-hari tersebut merupakan hari-hari untuk memperbaharui kehidupan di dalam ketaatan kepada Allah, hari-hari mendapat kurniaan rahmat Allah, hari-hari untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan demi mendapat keampunan Allah, hari-hari musim perniagaan yang menguntungkan, hari-hari yang mengumpulkan di antara kemuliaan tempat dan masa dan mengumpulkan di antara ibadah hati, badan, ibadah perseorangan dan beramai-ramai.

Ia juga kerana hari-hari ini merupakan hari-hari rahmat, keampunan dan pembebasan dari neraka. Hari-hari di mana malaikat di bumi menyerupai malaikat di langit, lalu manusia yang suci akan bertanding dengan malaikat yang baik. Allah SWT berbangga dengan hamba-hambanya di hadapan para malaikat seperti mana sabda Rasulullah SAW, “Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya daripada api neraka dari Hari Arafah, sesungguhnya Allah menghampiri hamba-hambanya dan berbangga dengan mereka di hadapan para malaikat lalu berkata: Apakah yang mereka inginkan?”

Diriwayatkan daripada Anas Bin Malik RA, “Dikatakan tentang sepuluh hari pertama Zulhijjah bahawa seharinya sama seperti seribu hari, Hari Arafah menyamai 10,000 hari (pada kelebihannya).”

Diriwayatkan juga daripada Al-Auza’ie, “Aku mendengar bahawa amalan dalam sepuluh hari tersebut umpama berperang di jalan Allah dalam keadaan berpuasa di siang harinya, berjaga di malam harinya melainkan orang yang mati syahid (maka pahalanya tidak boleh ditandingi).”

Diriwayatkan juga daripada Kaab, “Allah memuliakan sesetengah masa ke atas yang lain. Lalu masa yang paling dicintai Allah ialah bulan-bulan haram (Rejab, Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram). Bulan yang paling mulia diantara bulan-bulan haram ialah bulan Zulhijjah. Hari-hari yang paling mulia di sisi Allah di dalam bulan Zulhijjah ialah sepuluh hari pertamanya.”

Amalan-amalan yang paling dicintai oleh Allah

Saudara-saudariku yang dikasihi sekalian,

Suka saya untuk menceritakan pada kalian tentang keazaman para ‘arifin, kesungguhan para nasikin, kerinduan para pencinta dan keasyikan orang-orang yang taat. Nabi SAW dan para sahabat yang mulia mengkhususkan hari-hari ini dengan perdampingan yang lebih erat dengan Allah SWT, juga memperbanyakkan ketaatan serta zikir kepada-Nya.

Said Bin Jubair apabila tibanya sepuluh hari pertama Zulhijjah, dia bersungguh-sungguh dalam beribadah sehingga dia hampir tidak mampu melakukannya. Maka, adakah anda tergolong di kalangan mereka yang mendapat keistimewaan hari-hari ini? Di sini saya senaraikan beberapa langkah-langkah praktikal dari sudut tarbawi yang boleh anda lakukan:

1. Adakah anda telah berniat untuk melakukan haji dan umrah di tempat tinggal anda? Jika anda tidak mampu melakukan haji, maka Rasulullah SAW telah membuka pintu yang menyamai haji dan umrah. Sabda Baginda SAW, “Barangsiapa yang solat subuh berjemaah kemudian dia duduk mengingati Allah SWT sehingga terbitnya matahari, kemudian dia solat dua rakaat, maka baginya seumpama pahala haji dan umrah yang sempurna, yang sempurna, yang sempurna.”

Amalan: Iktikaf di masjid selepas subuh berzikir dan membaca Al-Quran

2. Adakah anda telah berniat untuk berpuasa pada sepuluh hari pertama Zulhijjah ini?

a. Imam Nawawi pernah ditanya tentang puasa sembilan hari pertama Zulhijjah. Maka dia menjawab, “Ia sangat digalakkan.”

b. Imam Ahmad meriwayatkan, “Rasulullah SAW berpuasa pada sembilan hari pertama Zulhijjah.”

c. Sayyidina Umar Al-Khattab berkata, “Tiada halangan untuk menggantikan puasa Ramadhan pada sepuluh hari pertama Zulhijjah.”

d. Hasan Basri berkata, “Berpuasa sehari di dalam sepuluh hari pertama Zulhijjah menyamai puasa dua bulan.”

e. Imam Muhammad Bin Sirin, Mujahid dan Atho’ berpuasa pada sembilan hari pertama Zulhijjah.

Amalan: Puasa sembilan hari pertama Zulhijjah.

3. Adakah anda telah berniat untuk iktikaf pada sepuluh hari pertama Zulhijjah ini? Diriwayatkan daripada Al-Hafiz Ibnu Asakir bahawa dia beriktikaf pada bulan Ramadhan dan sepuluh hari pertama Zulhijjah.

Amalan: Iktikaf sejam sehari atau sehari atau seumpamanya.

4. Adakah anda telah berniat untuk melakukan kebaikan pada sepuluh hari pertama Zulhijjah ini?. Rasulullah SAW bersabda, “Amalan-amalan baik memelihara diri daripada pengakhiran yang buruk, sedekah secara sembunyi mampu memadamkan kemarahan Tuhan, silaturrahim mampu memanjangkan umur.”

Amalan: Menunaikan hajat manusia setiap hari.

5. Adakah anda telah berniat untuk bertakbir, bertahmid dan bertahlil pada sepuluh hari pertama Zulhijjah ini?

a. Rasulullah SAW bersabda, “Tiada hari-hari yang lebih agung di sisi Allah dan lebih dicintainya daripada sepuluh hari pertama Zulhijjah, maka perbanyakkanlah tahlil (ucapan la ilaha illallah), takbir (ucapan Allahu Akbar) dan tahmid (ucapan alhamdulillah) di dalamnya.

b. Imam Mujahid berkata, Abu Hurairah dan Ibnu Umar RA keluar ke pasar pada sepuluh hari pertama Zulhijjah lalu bertakbir, lalu orang-orang di sekeliling mereka juga bertakbir bersama mereka. Mereka tidak datang ke pasar kecuali dengan tujuan tersebut.

Amalan: Bertakbir setiap kali selepas solat dan pada waktu-waktu kosong.

6. Adakah anda telah berniat untuk sentiasa berzikir pada sepuluh hari pertama Zulhijjah ini? Allah telah menyarankan umat Islam di dalam Al-Quran supaya memperbanyakkan zikir pada sepuluh hari ini. “Dan mereka menyebut nama Allah pada hari-hari yang diketahui.” (Al-Haj: 28) Ibnu Abbas mengatakan, “Sesungguhnya hari-hari yang diketahui itu ialah sepuluh hari pertama Zulhijjah.”

Amalan: Memelihara zikir pagi dan petang, zikir pada waktu-waktu kosong dan zikir mutlak sekurang-kurangnya 3000 kali setiap hari.

7. Adakah anda telah berniat untuk mempelbagaikan ibadat pada sepuluh hari pertama Zulhijjah ini?

a. Salafussoleh RA mempelbagaikan ibadat pada sepuluh hari pertama Zulhijjah.

b. Supaya kita dapat memenuhi sepuluh hari pertama Zulhijjah dengan bermacam jenis ibadat, di bawah saya senaraikan beberapa amalan yang perlu kita lakukan pada sepuluh hari pertama Zulhijjah ini sebagai tambahan bagi amalan-amalan yang telah disebutkan tadi. Mudah-mudahan Allah berbangga dengan kita di hadapan para malaikatnya.

ؠ Segera bertaubat dengan sebenar-benarnya serta mengulangi taubat siang dan malam.

ؠ Perbaharui niat dalam setiap kata-kata dan perbuatan dan menghadirkan lebih daripada satu niat dalam satu amalan. Jadikannya rahsia antara anda dan Tuhanmu.

ؠ Manfaatkan masa-masa yang berharga dengan ketaatan (waktu sebelum dan selepas Subuh dan waktu Maghrib).

ؠ Qiamullail secara bersendirian setiap hari di rumah sekurang-kurangnya dua rakaat sebelum tidur atau beberapa jam sebelum Subuh.

ؠ Bersedekah empat kali sepanjang sepuluh hari pertama Zulhijjah, menyembelih korban bagi yang mampu dan jangan lupa hak orang fakir miskin.

ؠ Berusaha mengkhatamkan Al-Quran sepanjang sepuluh hari pertama Zulhijjah. Jika tidak, maka sejuzuk setiap hari.

ؠ Melazimi solat dhuha, sunat rawatib, witir dan sebagainya.

ؠ Makan sahur atau berbuka bersama keluarga atau ahli rumah setiap hari atau sekurang-kurangnya tiga hari.

ؠ Mendoakan saudara-saudara yang telah tiada serta yang berjihad di Palestin dan di mana sahaja.

ؠ Menziarahi guru atau syeikh untuk mengambil manfaat bersama dengannya serta mengutip mutiara ilmu darinya.

ؠ Melaksanakan tugas sebagai daie dan haraki dan segala tugas-tugas yang diberikan dengan sebaik-baiknya.

ؠ Mulakan harimu dengan sedekah, moga-moga anda mendapat doa dua malaikat.

Akhirnya, jadikanlah sepuluh hari pertama Zulhijjah ini sebagai peluang untuk mentarbiyah jiwa dan ruh di dalam menghadapi kepayahan hidup, ujian dan cabaran. Jadikannya juga sebagai peluang untuk sentiasa berhubung dengan Allah SWT, mentarbiah diri untuk menghidupkan sunnah-sunnah Rasul SAW dan jadikan ia sebagai medan untuk berlumba-lumba di dalam mempelbagaikan ibadat. Jadikanlah sepuluh hari ini sebagai satu kursus tarbawi untuk mengubah, mendidik, membaiki, meluruskan serta merawat penyakit-penyakit hati. Jadikan ia sebagai peluang keemasan untuk menggapai cinta ilahi iaitu ketika mana anda melakukan amalan yang paling dicintai pada waktu yang paling dicintai. Jadikanlah syiarmu sepanjang sepuluh hari ini:

“Dan aku bersegera menuju-Mu wahai Tuhanku supaya Engkau redha.” (Toha: 84)

Labels: