Wednesday, February 1, 2012

Keistimewaan Sirah Nabi S.A.W


SIRAH Nabi s.a.w. mempunyai pelbagai keistimewaan yang menjadikan pengajiannya satu kepuasan roh, akal dan nilai sejarah. Pengajian ini juga menjadi kemestian ulama, pendakwah kepada Allah dan pengislah sosial. Pengajian ini menjamin mereka mampu menyampaikan Syariah kepada orang ramai dengan pendekatan yang menarik. Ini membuatkan orang ramai melihat Syariah umpama Khalifah Muktasim; tempat berlindung ketika berlaku kacau bilau dan huru hara. Pengajian ini juga akan membuka hati dan jiwa manusia untuk menerima pendakwah. Dengan itu, pengislahan yang diseru oleh para pengislah lebih menghampiri kejayaan dan lebih menepati sasaran. Kami ringkaska keistimewaan Sirah Nabi s.a.w. yang paling menonjol dalam perbincangan berikut:

Pertama:

Sirah Nabi s.a.w. istimewa lantaran ia merupakan sirah yang menceritakan sejarah nabi utusan Allah ataupun sejarah keagungan seorang tokoh islah yang paling sahih.Sirah Rasulullah s.a,w. telah kita terima melalui susur galur ilmiah yang paling tepat dan paling pasti (Kita akan rnelihatnya ketika membincangkan sumber rujukan Sirah). Susur galur ilmiah ini tidak memberi ruang untuk kita meragui kebenaran peristiwa besar dan penting yang berlaku. Ia juga memudahkan kita mengesan peristiwa dan mukjizat yang ditokok tambah oleh akal yang jahil dan gemar menambahkan sifat-sifat mengkagumkan kepada Rasulullah s.a.w. pada zaman-zaman terkemudian melebihi apa yang dikehendaki Allah dan Rasul-Nya. Dia menyangka tokok tambah ini boleh menunjukkan kemuliaan
kedudukan, kesucian risalah dan keagungan perjalanan hidup Baginda.

Keistimewaan sirah yang sahih lagi tiada sebarang keraguan ini, tidak terdapat dalam mana-mana sirah rasul-rasul Allah terdahulu. Sirah Musa a.s. yang ada pada hari ini telah bercampur aduk antara peristiwa-peristiwanya yang sahih dengan pemalsuan dan pindaan yang dimasukkan oleh Yahudi. Kita tidak dapat merujuk kepada Taurat yang ada kini untuk memahami sirah Musa a.s. yang sebenar. Ramai pengkritik Barat meragui kandungan sesetengah safarnya (surah-surah dalam Taurat). Sebahagian mereka memutuskan secara pasti bahawa sesetengah safar itu tidak ditulis pada masa Musa a.s. hidup atau sebaik sahaja selepas kematiannya. la hanya ditulis setelah berlalu tempoh masa yang lama tanpa diketahui siapakah penulisnya. Fakta ini sahaja sudah cukup menyebabkan kesahihan sirah Musa a.s.yang terdapat di dalam Taurat diragui. Justeru itu, orang Islam tidak dapat beriman dengan kesahihan sirahnya melainkan apa yang dinyatakan dalam al-Quran al-Karim dan Sunnah Nabawiyyah yang sahih.
 
Pertikaian yang sama juga diperkatakan terhadap sirah Isa a.s.. Injil-injil yang diiktiraf secara rasmi oleh gereja-gereja Kristian hanya diperakui selepas beratus-ratus tahun kematian al-Masih. Tanpa sebarang kewajaran ilmiah, Injil- injil ini dipilih daripada ratusan Injil yang tersebar luas di tangan penganut Kristian ketika itu.
Apatah lagi, hubung kait Injil-injil ini dengan penulisnya tidak disahkan melalui susur galur ilmiah yang memuaskan hati. la tidak diriwayatkan dengan sanad yang bersambung hingga kepada penulisnya. Para pengkritik Barat juga berselisih mengenai sesetengah nama penulis tersebut, siapakah mereka? Pada zaman manakah mereka hidup?
 
Jika keraguan ini timbul terhadap sirah rasul-rasul selaku tukuh agama yang tersebar luas di dunia, keraguan yang lebih kuat berlaku terhadap sirah tokoh-tokoh agama dan ahli falsafah lain yang bilangan pengikutnya di dunia mencapai ratusan juta orang. Contohnya, Buddha dan Confucious. Kisah hidup mereka hanya berlegar di kalangan pengikut mereka sahaja. Ia tidak mempunyai asal-usul yang diperakui daripada kaca mata kajian ilmiah. la hanyalah diambil secara tergesa-gesa oleh para sami sesama mereka. Setiap generasi menokok tambah riwayat generasi sebelumnya. Mereka menambah riwayat-riwayat berunsur lagenda dan khurafat yang tidak dapat dipercayai oleh akal yang cerdas dan bebas daripada ketaksuban kepada agama-agama itu.
 
Oleh itu, kita dapati sirah yang paling sahih dan paling diterima pakai secara mutawatir ialah sirah Muhammad, Rasulullah s.a.w.
 

Kedua:
 
 
Kehidupan Rasulullah s.a.w. pada setiap peringkat hidupnya amat jelas; sejak perkahwinan bapa Baginda, Abdullah dengan ibu Baginda, Aminah sehingga Baginda s.a.w. wafat. Kita mengetahui banyak perkara tentang kelahiran, zaman kanak-kanak, zaman remaja, sumber pencarian Baginda sebelum kenabian dan pengembaraan-pengembaraannya ke luar Makkah sehinggalah Allah rnengutuskannya sebagai Rasul yang mulia. Kita juga mengetahui secara lebih detil, jelas dan sempurna setiap hal ehwal Baginda selepas perutusan tersebut daripada setahun ke setahun. Ini menjadikan sirah Baginda s.a.w. jelas dan terang seumpama matahari. Sebagaimana kata sesetengah pengkritik Barat: Muhammad s.a.w. satusatunya tokoh yang lahir di bawah sinaran matahari.
 
Fenomena seperti ini tidak mudah didapati di kalangan mana-mana rasul yang terdahulu. Kita tidak tahu sesuatu pun tentang Musa a.s. ketika zaman kanak-kanak, zaman remaja mahupun sumber pencariannya sebelum kenabian. Kita hanya mengetahui sedikit sahaja berkenaan kehidupan baginda selepas kenabian. Ini tidak memberi gambaran sempurna berkenaan keperibadiannya kepada kita. Hal yang sama diperkatakan tentang Isa a.s. Kita tidak mengetahui apa-apa tentang zaman kanak-kanaknya melainkan apa yang diceritakan oleh Injil-injil hari ini. Injil menceritakan bahawa baginda telah memasuki haikal Yahudi dan berbincang dengan pendita-penditanya. Inilah satu-satunya kejadian yang disebutkan tentang zaman kanak-kanaknya. Selanjutnya, kita tidak mengetahui hal ehwal beliau selepas kenabian melainkan peristiwa yang berkaitan dengan dakwah dan sedikit tentang cara hidupnya. Manakala selain daripada itu adalah perkara yang dilitupi kabus tebal.
 
Di manakah kedudukan maklumat ini berbanding dengan maklumat yang disebutkan oleh sumber-sumber sirah yang sahih? Sumber-sumber ini menyebutkan secara lengkap kehidupan peribadi Rasul kita seperti makan, bangun, duduk, pakaian, rupa bentuk, gaya, percakapan, interaksi dengan keluarga, ibadat, solat dan pergaulan Baginda dengan para sahabatnya. Bahkan secara terperinci sekali dalam meriwayat sirah Baginda hingga ke tahap mereka menyatakan kepada kita bilangan uban di kepala dan janggut Baginda s.a.w..
Ketiga:

Sirah Rasulullah s.a.w. menceritakan perjalanan hidup seorang manusia yang dimuliakan Allah dengan risalah-Nya. Namun ia tidak mengeluarkan Baginda daripada sifat kemanusiaannya. Kehidupan Baginda tidak disertakan dengan dongeng-dongeng, juga tidak ditokok tambah dengan sifat ketuhanan, sama ada sedikit mahupun banyak. Apabila kita bandingkan hal ini dengan cerita-ceritayang diriwayatkan oleh orang Kristian tentang perjalanan hidup Isa a.s., penganut Buddha tentang Gauthama Buddha, penyembah berhala tentang tuhan sembahan mereka, akan jelas kepada kita perbezaan nyata antara Sirah Baginda s.a.w. dan sirah mereka. Lantaran perbezaan ini, ia memberi kesan jangka panjang kepada tingkah Iaku kemanusiaan dan kemasyarakatan pengikut-pengikut mereka. Dakwaan ketuhanan kepada Isa a.s. dan Gauthama Buddha menyebabkan mereka berdua tidak boleh menjadi contoh teladan kepada manusia dalam kehidupan peribadi dan kemasyarakatannya. Sebaliknya, Muhammad s.a.w. akan terus menjadi model manusia yang kamil kepada sesiapa yang ingin hidup bahagia dan mulia dari segi diri, keluarga dan suasana persekitarannya. Oleh yang demikian, Allah Taala berfirman dalam kitab-Nya yang mulia:

Firman Allah : Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat. (Al-Ahzab: 21)
 
 
Keempat:

Sirah Rasulullah s.a.w. meliputi setiap sudut kemanusiaan yang dimiiiki manusia. Ia menceritakan kepada kita perjalanan hidup Muhammad s.a.w. selaku pemuda yang amanah dan berakhlak mulia, iaitu sebelum Allah memuliakan Baginda dengan risalah-Nya. Ia turut menceritakan kepada kita perjalanan hidup Rasulullah sebagai pendakwah kepada Allah yang mencari cara paling efektif untuk memastikan dakwahnya diterima. Ia juga meriwayatkan Baginda sebugai pendakwah yang mencurah tenaga dan usaha yang maksimum untuk menyampaikan risalahnya. Begitu juga, ia menceritakan kepada kita perjalanan hidup Baginda sebagai ketua Negara yang mengasas sistem ampuh dan jitu untuk negaranya. Baginda melindungi negaranya itu dengan penuh waspada, ikhlas dan jujur. Ini menjamin negara tersebut untuk berjaya.
 
Sirah menceritakan kepada kita perjalanan hidup Rasul sebagai seorang suami dan bapa yang mempamerkan sikap belas kasihan, hubungan yang baik serta memberi perbezaan jelas antara yang mana hak dan mana kewajipan untuk suami, isiteri dan anak-anak. Ia juga menceritakan perjalanan hidup Rasul selaku pendidik dan pemberi tunjuk ajar yang menyelia pendidikan para sahabat Baginda dengan pendidikan yang ideal. Baginda memindahkan nilai-nilai pendidikan itu daripada rohaninya sendiri ke dalam rohani mereka, daripada jiwanya kepada jiwa mereka. Ini mendorong mereka untuk cuba mencontohi Baginda dalam sehalus-halus perkara sehinggalah ke sebesar-besar perkara. Begitu juga, ia menceritakan kepada kita perjalanan hidup Rasul selaku seorang teman yang melaksanakan kewajipan persahabatan serta memenuhi komitmen dan adab-adabnya. Ini menjadikan para sahabat Baginda mengasihinya sebagaimana mereka mengasihi diri mereka sendiri. Bahkan melebihi kasih mereka kepada keluarga dan kaum kerabat mereka. Sirah Baginda juga menceritakankepada kita perjalanan hidup seorang pahlawan yang berani, panglima perang yang jaguh, politikus yang berjaya, jiran yang amanah dan pengikat janji yang jujur.

Pendek kata: Sirah Rasulullah s.a.w. meliputi semua aspek kemanusiaan dalam masyarakat. Ini menjadikan Baginda contoh teladan yang baik untuk setiap pendakwah, panglima, bapa, suami, kawan, pendidik, politikus, ketua negara dan demikianlah seterusnya...
 
Kita tidak dapati kesyumulan seperti ini atau hampir sama dengannya dalam catatan sejarah yang masih kekal pada kita; catatan sejarah berkenaan sirah rasul terdahulu, pengasas agama dan falsafah yang terdahulu mahupun yang terkemudian. Musa adalah model pemimpin umat yang telah menyelamatkan umatnya daripada belenggu pengabdian. Ia menerangkan kepada kita kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip yang sesuai untuk misi itu sahaja. Akan tetapi kita tidak dapati dalam sirah baginda, keterangan yang boleh dijadikan contoh teladan kepada pahlawan perang, pendidik, politikus, kepala negara, bapa, atau suami. Isa a.s. pula menjadi model seorang pendakwah yang zuhud, meninggalkan dunia dalam keadaan dia tidak mempunyai harta, rumah atau barang. Namun dalam catitan sirahnya yang terdapat di tangan orang-orang Kristian, beliau tidak mewakili seorang panglima perang, ketua negara, bapa, atau suami (kerana dia tidak berkahwin), penggubal perundangan, atau lain-lain lagi yang ditunjukkun oleh Sirah Muhammad s.a.w.. Perihal yang sama berlaku pada Buddha, Confucious, Aristotle, Plato, Napoleon dan lain-lain lagi tokoh-tokoh sejarah. Mereka hanya layak menjadi contoh teladan (sekiranya mereka layak menjadi contoh teladan) untuk satu aspek daripada pelbagai aspek kehidupan, iaitu dalam bidang yang mereka terserlah dan terkenal dengannya. Satu-satunya manusia dalam sejarah yang boleh menjadi contoh teladan untuk semua golongan, semua pemilik pelbagai bakat dan semua manusia ialah Muhammad s.a.w.

Kelima:

Sirah Muhammad s.a.w. adalah satu-satunya sirah yang memberi dalil yang tidak diragui tentang kebenaran risalah dan kenabian Baginda kepada kita. Ia adalah perjalanan hidup seorang manusia kamil. Baginda mengharungi kehidupan bersama dakwahnya dengan mendapat kejayaan demi kejayaan; Bukan dengan cara peristiwaperistiwa pelik yang melanggar adat kebiasaan mahupun mukjizat. Bahkan semata-mata dengan cara yang normal. Baginda s.a.w. berdakwah, lalu disakiti, menyampaikan risalah, seterusnya memperolehi penyokong. Jika terpaksa berperang, Baginda berperang. Baginda seorang yang bijaksana dan mendapat taufiq dalam kepimpinannya. Ketika hampir wafat, dakwah Baginda telah berkembang meliputi seluruh semenanjung tanah Arab. Dakwahnya tersebar melalui cara iman (keyakinan), bukan dengan cara paksaan atau kemenangan perang.

Bagi sesiapa yang mengetahui pegangan dan budaya masyarakat Arab ketika itu, penentangan mereka melalui pelbagai cara sehingga ke tahap merancang pembunuhun Baginda, mengetahui ketidak seimbangan kekuatan Baginda dengan pihak lawan dalam setiap pertempuran yang Baginda menangis, mengetahui tempoh masa yang terlalu singkat dalam menyampaikan risalah sehingga kefawatan Baginda iaitu 25 tahun, semua ini memberikan keyakinan bahawa Muhammad adalah benar-benar pesuruh Allah. Kurniaan Allah kepada baginda seperti tabah (thabat), kekuatan, keupayaan mempengaruh dan kemenangan juga menunjukkan Baginda benar-benar seorang nabi. Allah tidak akan mendokong sesiapa yang mendustakan-Nya. Dokongan Ilahi ini adalah dokongan yang unik dalam sejarah.
 
Sirah Rasulullah s.a.w. membuktikan kepada kita kebenaran risalah Baginda hanya melalui bukti-bukti lojik yang boleh diterima akal. Mukjizat yang berlaku bukanlah faktor utama orang Arab beriman dengan dakwah Baginda. Bahkan kita tidak dapati Baginda mempunyai mukjizat yang menyebabkan orang kafir yang ingkar menjadi beriman kerana mukjizat tersebut. Walau bagaimanapun, mukjizat berbentuk material tetap menjadi hujah dalam berhadapan dengan mereka yang menyaksikannya. Suatu yang pasti bahawa orang Islam yang tidak pernah melihat Nabi s.a.w. dan tidak pernah menyak-sikan mukjizat, mereka beriman dengan kebenaran risalah Baginda hanya kerana bukti-bukti logik yang qat’ie dan masuk akal yang menunjukkan kebenaran dakwaan kenabiannya. Di antara bukti tersebut ialah: al-Quran al-Karim. Ia merupakan mukjizat yang boleh diterima oleh akal. Mukjizat ini menyebabkan setiap manusia berakal lagi bersikap adil dan insaf pasti beriman dengan kebenaran dakwaan kerasulan Muhammad s.a.w..
 
Ini berbeza sama sekali dengan sirah para nabi terdahulu yang disimpan oleh para pengikutnya. Sirah para nabi terdahulu menunjukkan kepada kita bahawa orang ramai beriman setelah melihat mukjizat dan perkara pelik yang menyalahi adat berlaku kepada rasul-rasul tersebut. Mereka beriman tanpa meletakkan akal sebagai hakim dalam menilai prinsip-prinsip dakwah para rasul tersebut, seterusnya tunduk kepadanya. Contoh paling jelas ialah sirah nabi Isa a.s.. Dalam al-Quran, Allah menceritakan kepada kita bahawa antara tunggak utama yang Allah berikan kepada nabi Isa a.s. untuk meyakinkan orang Yahudi tentang kebenaran risalahnya ialah boleh menyembuhkan orang buta dan penyakit kusta, merawat penyakit, menghidupkan orang mati serta memberitahu kaumnya apa yang mereka makan dan apa yang tersimpan di rumah mereka. Semua ini berlaku dengan izin Allah Azzawajalla.Mukjizat-mukjizat ini menjadi penyebab orang ramai beriman kepada Nabi 'Isa secara beramai-ramai. Inilah yang diriwayatkan oleh kitab-kitab Injil kepada kita. Namun, mereka beriman dengan Isa a.s. bukan sebagai rasul, bahkan sebagai tuhan dan anak tuhan (Maha suci Allah daripada perkara ini). Inilah yang diceritakan oleh al-Quran kepada kita. Selepas pemergian nabi Isa a.s., agama Kristian tersebar melalui perkara luar biasa dan pelik yang menyalahi adat kebiasaan. Safar Kerja Rasul-Rasul menjadi bukti utama kepada perkara ini. Sehingga kita boleh katakan bahawa agama Kristian yang diimani oleh pengikutnya adalah agama yang tertegak di atas perkara luar biasa dan pelik yang menyalahi adat kebiasaan, bukan di atas keyakinan akal yang rasional.
 
Di sini kita dapat lihat kistimewaan yang jelas dalam sirah Rasul s.a.w.. Tidak ada seorangpun yang beriman dengan Baginda disebabkan melihat mukjizat yang menyalahi adat kebiasaan. Bahkan dia beriman disebabkan keyakinan akal dan jiwa. Sekiranya Allah memuliakan Rasul-Nya s.a.w. dengan mukjizat yang menyalahi adat kebiasaan, ia hanyalah penghormatan kepada Baginda s.a.w.. Ia juga bertujuan mendiamkan penentangnya yang sombong. Sesiapa yang meneliti al-Quran al-Karim, dia akan dapati dalam usaha meyakinkan manusia, al-Quran bergantung kepada budi bicara akal, penyaksian pancaindera terhadap kebesaran ciptaan Allah, juga pengetahuan sempurna berkenaan Rasul yang buta huruf. Buta huruf Baginda s.a.w. menjadikan al-Quran yang dibawanya sebagai bukti kebenaran risalah Baginda. Allah Taala berfirman dalam surah al-Ankabut:
 
 
Dan mereka berkata "Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) mukjizat-mukjizat dari Tuhannya?" Jawablah (wahai Muhammad):"Sesungguhnya (urusan menurunkan) mukjizat-mukjizat itu adalah tertentu bagi Allah, dan aku hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata" (Patutkah mereka meminta mukjizat-mukjizat yang lain?) tidakkah cukup bagi mereka bahawa Kami telah menurunkan kepadamu Al-Quran yang dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya Al-Quran yang diturunkan itu mengandungi rahmat dan peringatan bagi orang-orang yang beriman. (Al-Ankabut: 50-51)
 
 
Apabila orang-orang kafir Quraisy melampaui batas dengan menuntut mukjizat daripada Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang dilakukan oleh umat-umat terdahulu, Allah memerintahkan Baginda menjawab:
 
 
Katakanlah (wahai Muhammad): "Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?" (Al-Isra': 93)


Perhatikan perkara ini dalam surah al-Isra' yang bermaksud:


Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan mata air dari bumi, untuk kami. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalir-kan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya. Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya.

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?" (Al-Isra': 90-93)


Demikianlah al-Quran menetapkan secara terang dan jelas bahawa nabi Muhammad s.a.w. adalah manusia dan rasul. Dalam membenarkan dakwaan kerasulan Baginda, al-Quran tidak bergantung kepada perkara yang menyalahi adat kebiasaan dan mukjizat, bahkan hanya berdailog dengan akal dan hati.
 
 
Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya, nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam. (Al-An'am: 125)


Sumber : Sirah Nabi Muhammad S.A.W. : Pengajaran & Pedoman - Dr Mustafa as-Syibaei
8 Rabiulawal 1433H

Labels: