Thursday, February 23, 2012

Ilmu Mengenal Allah


بسم الله الرحمن الرحيم

 
~Tak Kenal Maka Tak Cinta~

" Orang yang tidak kenal Allah (tidak ma'rifatullah) ialah orang yang hatinya buta. Mereka sekadar mengakui adanya tuhan berdasarkan akal mereka. Orang-orang ini akan dihukum di akhirat nanti mengikut kadar kesalahan masing-masing."



MEREKA adalah golongan Ash-habul-yamin, As-Shodiqqun, Al-Faizun, Ash-Syuhada, Al-Abrar. Begitulah gelaran-gelaran tanda kasih sayang Allah kepada mereka.

Bagi mereka yang tidak pernah mengambil tahu tentang Allah s.w.t, tentang pembesar-pembesar-Nya dan undang-undang-Nya, Allah beri amaran bahawa akan memurkai mereka itu. Golongan itu digelarkan sebagai Al-Fasiqud, As-Zalimun, Al-Kafirun dan lain-lain.


Orang yang tidak kenal Allah (tidak ma'rifatullah) ialah orang yang hatinya buta. Mereka sekadar mengakui adanya tuhan berdasarkan akal mereka. Orang-orang ini akan dihukum di akhirat nanti mengikut kadar kesalahan masing-masing. Lama dan panasnya neraka pun telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Perumpamaan kita dengan Allah sepertilah 'Hamba' dengan 'Tuannya'. Katalah seorang teman mempunyai 4 orang hamba;

A. Seorang hamba yang patuh TETAPI tidak beradab
B. Seorang hamba yang cuai TETAPI  beradab
C. Seorang hamba yang patuh LAGI  beradab pula
D. Seorang hamba yang cuai DAN tidak beradab 

Di antara A dan B tentulah tuannya sayang pada B kerana B beradab dengannya. Walaupun kerjanya selalu tidak beres disebabkan kelemahan dirinya, tetapi sikapnya yang selalu meminta maaf itu menyebabkan tuannya tertarik dan kasihan . Manakala si A walaupun kerjanya beres tetapi dia sombong degan tuannya.

Si C adalah antara ciri-ciri hamba yang dikehendaki dan disayangi tuannya kerana dia patuh, kerjanya beres dan menghormati tuannya. Perbandingan dengan si D, dia tidak menyiapkan kerja ditambah pula sifatnya yang sombong dan tidak menghormati tuannya.

Ikuti seterusnya nota-nota Mengenal Allah sebagai pengenalan dan pengetahuan asas buat kita semua. Semoga nota-nota yang disediakan akan memberi manafaat kepada kita semua InsyaAllah.


ILMU MENGENAL ALLAH
 

MENGENAL Allah adalah satu pelajaran yang mula-mula sekali diwajibkan kerana mengikut pendapat Abu Hassan Assari wajib mengenal Allah setelah baligh , dan mengikut Abu Mansor Al-Maturidi pula wajib mengenal Allah sebelum baligh, yakni sebelum berumur 15 tahun.


Di antara dalil-dalil mengenai wajib mengenal Allah seperti berikut:
 

Awwaluddiini ma'rifatullah ( Al -Hadis)

Maksud Hadis: "Awal Agama itu ialah mengenal Allah."
 
Inna ma'rifatu waajibadun 'ala waahidin (Al-Hadis)

Maksud Hadis : " Bahawa mengenal Allah itu wajib atas tiap-tiap seorang."
Awwalu waajibun 'alal insaani ma'rifatu billahi maa yaqaani (Al-Hadis)

Maksud Hadis : " Yang mula-mula wajib ke atas manusia ialah mengenal Allah dengan yakin.
 

Laa tasihu 'ibaadatu illaa ba'da ma'rifatul mu'buudi (Al-Hadis)

Maksud Hadis: " Tidak sah ibadat itu melainkan sesudah kenal yang disembah.

Dan banyak lagi dalil-dalil yang menunjukkan bahawa mengenal Allah wajib bagi semua manusia Islam atau kafir, barang siapa mati sebelum kenal Allah wajib diseksa.


Mengikut maksud sebuah hadis, Allah berfirman: " barangsiapa ingin hendak berkenalan dengan Ku, Aku pun ingin berkenalan dengannya, dan barang siapa tidak ingin hendak berkenalan dengan Ku, Aku pun tidak ingin hendak berkenalan dengannya."

 
CERITA ORANG MENCARI ALLAH


SEBELUM penulis kitab ini menceritakan seseorang ulama atau pun orang biasa tentang niatnya mencari Allah, biarlah lebih dahulu penulis ini menceritakan dirinya sendiri.


Sebenarnya penulis kitab ini pun baharu sahaja kenal Allah. Apa yang dapat penulis rasakan adalah seperti berikut, tiap-tiap orang yang mengenal Allah tidaklah beerti ia pernah melihat Nya, umpama kenal Presiden Amerika, tetapi tidak pernah melihat sendiri dan berjumpa dengannya. Begitulah contohnya kita mengenal Allah.
 
Adapun cara-cara kita dapat mengenal sesuatu itu adalah dinamakan maklumat, dan maklumat ini adalah berbeza-beza antara seseorang itu, misalnya ada orang boleh kenal dengan melihat gambarnya di kaca televisyen, ada orang boleh kenal dengan melihat gambarnya di majalah, ada orang boleh kenal dengan melihat gambarnya di suratkhabar, begitulah contoh-contoh maklumat yang boleh menyampaikan seseorang itu, kenal kepada sesuatu.
 
Di dalam mempelajari Ilmu Tauhid, jika seseorang guru itu tidak bertaraf jazam atau tahkik serta bertaraf kamil mukamil, haram belajar dengannya dan dia yang mengajar pun haram. Berlainan dengan ilmu-ilmu yang lain, jika dia hanya tahu sepatah dalam Ilmu Feqah, boleh mengajar sepatah kepada orang lain.
 
Oleh itu, dinasihatkan kepada pembaca-pembaca, carilah guru untuk mempelajari Ilmu Tauhid kerana Ilmu Tauhid adalah Ilmu Akidah. Jika tersalah mentafsirkannya kelak akan merosakkan akidah seseorang. Walaubagaimana pun, nota-nota dalam bentuk buku atau kitab diperlukan dan penting bagi membantu menguatkan kefahaman dalam menuntut ilmu-ilmu agama.
 
Tiap- tiap seseorang hendak mengenal Allah tidaklah susah dan tidak juga senang., pokok pangkalnya hidayah, seperti maksud dari Al-Quran, "siapa yang Allah kehendaki baginya kebaikan, nescaya Allah fahamkan baginya ilmu agama." Jika kita membaca Kitab Tazkiratul Aulia' banyak menceritakan orang-orang yang mencari Allah, satu darinya ada seorang sufi berwirid siang malam dengan tidak tidur-tidur selama tiga puluh tahun kerana hendak melihat Allah, tidak juga berhasil. Pada suatu ketika ia terlelap dan tertidur, waktu tidur ia bermimpi berjumpa Allah.
 
Maka selepas itu ia sentiasa tidur dengan harapan dapat bermimpi lagi.

Ada lagi sesorang ahli sufi yang baharu kenal Allah, pada suatu hari, seorang muridnya bertanya "berapakah umur tuan?" Dia menjawab "empat tahun", sedangkan umurnya melebihi lapan puluh tahun, muridnya bertanya lagi, "mengapa tuan jawab hanya empat tahun?" jawab gurunya, "saya baharu kenal Allah empat tahun, maksudnya umur yang selebihnya itu tidak dikira, kerana semuanya sia-sia sahaja."
 
Ada seorang ahli sufi bernama Abdullah Fansuri berasal dari Aceh Indonesia pernah menjelajah ke seluruh dunia termasuk Mekkah dan Madinah untuk mencari Allah tidak berjumpa.
 
Dia mencari menghabiskan masa dan wang ringgit yang banyak tetapi akhirnya berjumpa (Kenal) di dalam rumah, yakni dia dapat kenal Allah di dalam rumahnya sendiri tanpa bersusah payah, kerana telah dapat hidayah atau pertunjuk dari Allah, itulah yang dimaksudkan oleh sebuah hadis;


" 'Ariftu robbi birobbi " (Al-Hadis)
 
Ertinya: " Aku telah kenal Allah kerana tuhan ku" atau "Aku telah kenal tuhan ku dengan tuhan ku."

 
BAHAYA TIDAK KENAL ALLAH


DI zaman nabi Musa a.s, waktu beliau hendak pergi berjumpa dengan Allah di atas bukit Thursina, sepeninggalannya ada seorang yang bernama Samiri. Samiri membuat patung anak lembu daripada emas. Katanya inilah tuhan yang dicari oleh Nabi Musa a.s, sembahlah!

Oleh kerana semua orang tidak kenal Allah, maka ramailah yang percaya kepadanya.


Di Padang Mahsyar tempat berhimpun manusia setelah dihidupkan kali kedua setelah seribu tahun berada di sana, barulah Arasy diturunkan pada masa itu malaikat yang menjaganya ditambah lagi empa, jadi jumlahnya lapan. Maka firman Alah kepada semua manusia, barangsiapa yang menyembah matahari di dunia ikut matahari, barangsiapa menyembah berhala di dunia ikut berhala, barangsiapa menyembah Firaun, ikut Firaun begitulah sehingga habis semua manusia dihalau oleh malaikat ke tempat masing-masing. Hanya tinggal umat nabi Muhammad sahaja lagi, pada waktu itu mereka berbangga dan berbesar hati serta berkata sesama mereka kita di dunia menyembah Allah, lalu Allah berfirman lagi, "Kalian di dunia menyembah Allah, kenalkah Allah?" Jawab mereka " Kenal!!!". Firman Allah lagi, "Bagaimana kenal sedangkan tak pernah melihatnya!" Jawab mereka lagi " Kami Kenal……"


Allah tidak percaya pengakuan mereka itu, lalu menyuruh malaikat yang ada di kiri Arasy menjelma dan mengaku tuhan, maka malaikat itu pun menjelma lalu berkata " Ana rabbakumul Akll fa’budun" maknanya " Akulah tuhan maha tingi, sembahlah oleh kalian!" Waktu itu barulah masing-masing terpinga-pinga serta berbincang sesama sendiri, malaikat itu besarnya jika diletakkan air tujuh buah sungai yang panjang-panjang di dunia ini di atas kuku ibu jarinya nescaya tidak tumpah walau setitik pun.


Ramai di antara mereka yang percaya dan sujud kepadanya setelah nyata siapa yang sujud dan siapa yang tidak, lalu diasingkan antara keduanya maka malaikat itu pun ghaiblah.


Kemudian Allah menyuruh pula malaikat yang di sebelah kanan Arasy menjelma mengaku tuhan, maka melaikat itu pun menjelma dan berkata, yang tadi itu bukan, ini yang betul sembahlah aku, menghalakan pertanyaan kepada mereka yang tidak sujud di kali pertama tadi, malaikat ini jauh lebih besar dari yang tadi sekali ganda, iaitu jika dituangkan air dari empat belas sungai yang panjang-panjang di dunia ini tidak tumpah, ada yang berkata benar dan ada yang berkata bukan, tetapi ramai juga yang sujud kepadanya.


Selepas itu mereka juga diasingkan, kesimpulannya waktu itu ada tiga golongan di Padang Mahsyar, pertama golongan kiri, kedua golongan kanan dan ketiga golongan tengah. Dan sujudlah golongan tengah iaitu terdiri dari mereka yang kenal Allah kepada Tuhan yang sebenarnya.Jika ada golongan kiri atau kanan yang ingin sujud bersama mereka, dikeraskan belakang yang tidak membolehkan mereka sujud, golongan tengah ini sujud kepada Allah selama empat puluh tahun, bila sampai empat puluh tahun Allah berfirman:
 
Maksud Hadis : Maka Allah berfirman, angkatlah kepala-kepala kalian bukanlah di hari ini untuk beribadat.

Oleh itu cuba kita renungkan, sedangkan waktu itu kita juga akan berada di sana, sebelah mana hendak diikut, di kiri atau di kanan, atau di tengah. Kalau di kiri apa alasannya, dan kalau di kanan atau di tengah apa pula alasannya.
 

Maksud Hadis : Belajarlah hujah-hujah kerana kalian akan ditanya.


Maksudnya: Dan siapa-siapa yang tidak kenal di dunia, maka di akhirat juga tidak kenal dan sesat jalan. (Surah Al-Isra’ : 72)


Maksudnya: Bukan buta mata, tetapi buta mata hati yang ada di dalam dada.
(Surah Al-Hajj : 46)
 

Maksud Hadis: Ada sekumpulan umat nabi Muhammad s.a.w dalam hakikat Tauhid, seramai tujuh puluh ribu orang yang terpilih masuk syurga tanpa dihisab.

Mereka adalah terdiri dari mereka-mereka yang kenal Allah, Alhamdulillah, mudah-mudahan kita juga salah seorang dari mereka yang beruntung terpilih mendapat rahmat dari Allah..Aamiin.


Maksud Hadis: Bagi mereka yang kenal Allah dapat ganjaran dua syurga, satu syurga Jannatul Adnin dan yang satu lagi jadi pilihan, yakni disuruh pilih yang mana berkenan.


Begitulah kelebihan-kelebihan yang dijanjikan Allah kepada hamba-hambanya yang berusaha ke jalanNYA dan sebaliknya dijanjikan juga bagi mereka yang tidak mengenaliNYA wajib diseksa.

 
JALAN MENGENAL ALLAH
 
KEBANYAKAN orang-orang yang kenal Allah adalah terdiri daripada mereka yang beramal amalan ahli sufi, iaitu ajaran tharikat, hampir semuanya ilmu itu dapat dengan jalan ilmu laduni.
 
Belajar Ilmu Tauhid yang empat:
 
1. Tauhid Af'aal - ada 18 000
 
2. Tauhid Asma' - ada 3 000
 
3. Tauhid Sifat - ada 20 (yang wajib)
 
4. Tauhid Zat - adalah Ilmu Rasa
Adapun Tauhid Af’aal, Tauhid Asma’, Tauhid Sifat boleh dipelajari dengan cara ditulis tetapi Tauhid Zat tidak boleh dapat melainkan dengan cara beramal.
Maksud Hadis: Tidak akan sampai seseorang itu kepada Allah Taala melainkan dengan berkekalan (sentiasa) berzikir mengingati Allah.
 
Apabila seseorang itu sudah kenal Allah, hendaklah ianya menyempurnakan zikir ma’rifat seperti di bawah:-
1. Laa ilaha illallah 70,000 Kali
 
2. Yaa Allah 60,000 Kali
 
3. HuAllah 50,000 Kali
 
4. Yaa Lathif 40,000 Kali
 
5. Yaa Kabiir 30,000 Kali
 
6. Yaa ‘Aalim 20,000 Kali
 
7. Yaa ‘Aalim ghaibi washaahaadah 10,000 kali
Jika sudah ada tersimpan zikir-zikir ma'rifat, insyaAllah mudah bertambah ilmu ladunni dan ilmu kasaf iaitu rahsia-rahsia Kebesaran Allah Taala.
 
Firman Allah SWT yang bermaksud : "Tanyalah ahli-ahli zikir jika kalian tidak mengetahuinya."
 
Untuk mengenal Allah, kejadian nabi Adam juga mesti diketahui, bila ianya dijadikan daripada tanah yang mana, berapa lama baru siap ditempa dan lain-lain yang ada kaitan dengannya.
Nabi Muhammad s.a.w naik Isra' dan Mi'raj berjumpa Allah juga perlu dikaji kerana nabi Muhammad s.a.w sahaja yang dapat berjumpa dan melihat Allah iaitu sebanyak sembilan kali iaitu ketika meminta dikurangkan jumlah solat dati lima puluh waktu kepada lima waktu.
Berikut adalah asas untuk dapat mengenal Allah jika dapat hidayah dari Allah, insyaAllah.

1. Belajar Ilmu Tharikat.
 
2. Belajar Ilmu Tauhid dengan lengkap dan jelas.
 
3. Mengenal kewujudan Nabi Adam.
 
4. Mengkaji dan mengikuti kisah dan sirah Nabi Muhammad s.a.w di dalam peristiwa Isra' & Mi'raj.

 
RINGKASAN ILMU TAUHID
 
Sebagaimana disebutkan di sebelah tadi, Ilmu Tauhid ada empat:


1. TAUHID AF'AAL : ada lapan belas ribu iaitu jumlah bilangan jenis-jenis makhluk yang dijadikan. Adapun makhluk yang mula-mula dijadikan ialah nur Muhammad dan yang terakhir sekali adalah lembaga nabi Adam.


a. 18 000 Kun Fayakun

b. 18 000 Kun Fatakun

c. 5 dijadikan dengan tangan Allah.



2. TAUHID ASMA' : nama-nama Allah iaitu ada sebanyak tiga ribu:

a. 1 000 nama diberikan kepada MALAIKAT

b. 1 000 nama diberikan kepada NABI-NABI - PARA ANBIA'

c. 300 nama ada di dalam KITAB TAURAT - NABI MUSA A.S

d. 300 nama ada di dalam KITAB ZABUR - NABI DAUD A.S

e. 300 nama ada di dalam KITAB INJIL - NABI ISA A.S

f. 99 nama ada di dalam KITAB AL-QURAN - NABI MUHAMMAD S.A.W

g,. 1 nama DIRAHSIAKAN

JUMLAH = 3000



3. TAUHID SIFAT : iaitu segala sifat kamalat Allah yang tidak terhingga banyaknya tetapi ulama' tauhid mengatakan wajib tahu 20 darinya:



1. WUJUD - ERTINYA ADA
2. QIDAM - ERTINYA SEDIA
3. BAQA' - ERTINYA KEKAL SELAMANYA
4. MUKHALAFATUHU LIL HAWADIS -ERTINYA TIDAK SAMA DENGAN YANG BAHARU
5. QIAMUHU BINAFSIH - ERTINYA BERDIRI SENDIRIAN
6. WAHDANIAH - ERTINYA ALLAH ITU ASA
7. QUDRAT - ERTINYA KUASA
8. IRADAT - ERTINYA BERKEHENDAK
9. ILMU - ERTINYA TAHU
10. HAYAT - ERTINYA HIDUP
11. SAMAK - ERTINYA MENDENGAR
12. BASHOR - ERTINYA MELIHAT
13. KALAM - ERTINYA BERKATA-KATA
14. QADIRUN - ERTINYA YANG BERKUASA
15. MURIDUN - ERTINYA YANG BERKEHENDAK
16. ALIMUN - ERTINYA YANG MENGETAHUI
17. HAIYUN - ERTINYA YANG HIDUP
18. SAMIUN - ERTINYA YANG MENDENGAR
19. BASHIRUN - ERTINYA YANG MELIHAT
20. MUTAKALIMUN - ERTINYA YANG BERKATA-KATA.

4. TAUHID ZAT - Ilmu Rasa iaitu melalui pengamalan zikrullah secara berkekalan (senantiasa).
 
 

KISAH MENCARI TUHAN

(Abdullah Syarafi -nama dalam bahasa Ibrani atau Hebrew dengan Nabi Musa a.s.)

ALLAHU - ucapan lidah
RABBI - pengakuan hati
ABDULLAH - mencari Allah
ALLAH dicari , tiada "sembunyi".
 
~.~
 
ALKISAH, maka tersebutlah dalam Nawadir:  Bahawa sewaktu Nabi Musa a.s telah sampai di negeri Mesir kembali dari negeri isterinya MADYAN, maka ia telah menyampaikan kerasulannya dan seruan serta ajaran-ajaran agama yang diterimanya dari Tuhannya di lereng bukit Thursina (Sinai) dekat lembah Thuwaaitu, dengan ayat-ayat dalam kitab yang bernama Taurat.

Dimulainya seruannya ini kepada kaumnya Bani Israil, di samping menghadapi Fir'aun dengan kaumnya yang memerintah  negeri Mesir pada ketika itu.
Yang menjadi pokok ajaran Nabi Musa a.s, sama sajalah dengan pokok ajaran segala Rasul dan Nabi sebelum dan sesudahnya:

" An ta'budullaha wala tusyriku bihi syaiton"
(Bahawa kamu hendaklah menyembah ALLAH dan jangan kamu mempersyarikatkan dengan NYA sesuatupun!)

Akhirnya sampailah seruan dan ajaran Nabi Musa a.s ini ke suatu negeri kecil yang letaknya jauh terpencil di Hulu sungai Nil, namanya QIRYAH. Adapaun penduduk  negeri (kampung) kecil itu adalah antara seribu dengan tiga ribu orang, yang kebanyakannya terdiri dari persukuan Bani Israil.

Di antara orang-orang yang beriman di sana, termasuklah seorang Pemuda yang bernama Abdullah Syarafi (kemungkinan nama ini telah dipindahkan ke dalam bahasa Arab, kerana bahasa orang di zaman tersebut ialah bahasa Ibrani atau Hebrew).
Pemuda itu tidaklah berasa puas dengan caranya ia beriman kepada Allah begitu sahaja, malahan timbullah keinginannya hendak tahu dengan nyata akan siapa benarkah Allah, Tuhan yang akan disembah itu.

Perasaannya ini mengganggu fikirannya siang dan malam. Akhirnya ia mengambil suatu keputusan, bahawa ia akan pergi ke negeri Mesir untuk bertemu benar dengan Nabi Musa a.s bertanyakan itu.

Walaupun jarak antara negerinya itu dengan negeri Mesir teramat jauhnya, iaitu memakan masa berhari-hari perjalanan siang dan malam, mendaki bukit-bukit dan menuruni lurah-lurah, mengharungi hutan rimba yang tebal dan sunyi serta melintasi sungai-sungai dan padang pasir yang amat luas, tiadalah hal itu mematahkan semangatnya.
Tekadnya sudahlah pasti, bahawa walau betapa pun kesusahan yang akan dialaminya ia harus berjumpa dengan Nabi Musa a.s. Demikianlah. Maka pada suatu ketika yang dirasanya baik dimulainyalah perjalanannya itu.

Tiba-tiba sesudah beberapa hari dalam perjalanan itu (yang hanya seorang diri), bertemulah ia dalam suatu rimba yang sunyi dengan suatu pemandangan yang amat ngeri dan menyedihkan.
Iaitu di bawah sebatang pohon kayu didapatinya satu tubuh manusia yang masih hidup terdampar, tetapi sudah dalam keadaan rosak binasa.

Kedua kakinya sudah kena potong bekas dianiyai orang, begitu pula kedua tangannya. Ia tidak dapat bergerak lagi dari sana. Lalat-lalat banyak sudah mulai mengerubungi bekas anggotanya yang kena potong itu, bahkan sudah mulai berulat. Demikian keadaannya, sehingga hanya menunggu mautnya sahaja lagi. Alangkah terharunya hati Abdullah Syarafi menyaksikannya.

Tetapi suatu hal yang menakjubkan hatinya ketika itu ialah melihat betapa semut-semut yang banyak dengan secara bergotong-royong telah membawakan buah-buahan rimba yang jatuh bermasakan yang kebetulan banyak pula di tempat itu san boleh dimakan, langsung ke mulut hamba Allah yang sedang sengsara itu.

Orang itu menerangkan kepada Abdullah Syarafi, bahawa ia bernasib buruk demikian kerana ia dianiyai oleh sekumpulan penyamun yang telah merampokinya, sesudah harta-bendanya dirampas mereka.

Diletakkan mereka akan dia di sana demikian itu sudah ada kira-kira lima belas hari lamanya. Hanya Allah s.w.t jualah yang akan tahu betapa besarnya kesengsaraan yang sedang dideritainya itu. Tetapi rupanya menurut takdir Allah, ajalnya belum sampai, maka telah digerakkan-Nya semut-semut rimba di tempat itu untuk membawakan " makanan" ke mulutnya.

"Tolonglah tanyakan kepada Nabi Musa a.s, begini rupanya kekejaman orang terhadap diriku,adakah aku akan masuk syurga dengan menahankannya?", demikian orang yang teraniya itu menumpangkan pesannya kepada Abdullah Syarafi.

"Baiklah!", jawabnya dengan hancur perasaannya, serta ia minta dia berlalu dari situ, untuk melanjutkan perjalanannya yang masih amat jauh.

Sesudah beberapa hari pula berjalan, bertemu pulalah ia dengan sekumpulan penyamun yang amat garang dan bengis rupanya. Mereka ber"sarang" dalam satu gua yang seram. Tempat mereka itu terkenal dengan tempat yang sangat ditakuti oleh musafir.

Bilangan mereka itu sembilan orang dan mereka inilah yang telah melakukan penganiayaan terhadap orang yang dijumpainya di atas tadi.

Mulanya kesembilan orang penyamun itu hendak menyamunnya pula. Tetapi lantaran dia tidak ada membawa kekayaan apa-apa, maka mereka bertindak hendak membunuhnya sahaja.

"Jikalau kematianku berguna untuk tuan-tuan, bunuhlah aku", kata Abdullah Syarafi dengan tenang. Ia tidak takut sedikit pun, kerana ia yakin bahawa Allah yang sudah diimaninya itu tidak akan membiarkan hal itu berlaku, jikalau tidaklah kerana memang sudah "takdir" baginya.

"Tetapi menurut fikiranku", demikian Abdullah Syarafi meneruskan bicaranya "tidak akan ada gunanya kalian membunuh aku, malahan mendatangkan kesusahan sahaja. Sekurang-kurangnya perlu pula kalian menguburkan aku atau membuangkan mayatku dari sini. Kalau tidak, tentulah akan busuk tempat kalian ini. Gunanya manusia diberi akal oleh Tuhan, bukankah untuk menimbangkan sesuatu yang akan mendatangkan faedah dan meninggalkan apa-apa yang tiada berguna?"

Demikianlah abdullah Syarafi terus menceritakan maksud dan tujuan perjalanannya ke Mesir itu dan mengingatkan kepada penyamun-penyamun tersebut,, " bahawa selama hidup akan mati. Dan kelak sesudah mati, tiap-tiap manusia akan menghadapi pengadilan Tuhannya, menerima hukuman atas segala kejahatan yang sudah dilakukannya. Bertaubatlah tuan-tuan dari kejahatan tuan-tuan ini, selagi jalan untuk bertaubat itu masih terbuka!' demikian ucapan Abdullah Syarafi menutupi pembicaraannya.

Sudahlah kehendak Allah akan berlaku, Allah Ta'ala kaya sungguh; maka segala keterangan Abdullah Syarafi yang diberikannya dengan bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan hati itu, rupannya menyelinap dan meresap ke dalam lubuk hati penyamun-penyamun itu. " Bagaimanakah kami akan bertaubat", jawab mereka sinis. "Dosa kami sudah amat banyak, seberat langit dan bumi, Selain dariapada harta-benda manusia yang sekian banyak telah kami rampas, belum pula penganiayaan-penganiayaan yang telah kami lakukan terhadap mereka, maka nyawa manusia saja yang sudah bunuh sudah berjumlah 99 orang. 

Tetapi sungguhpun demikian, kami memang telah mempunyai rasa takut di dalam hati terhadap azab-azab Allah di akhirat kelak.

Tolonglah engkau tanyakan nanti kepada Nabi Musa, jikalaulah kami bertaubat sekarang, sedangkan dosa kami perbuat sudah demikian banyaknya, adakah Allah akan menerima taubat kami itu....?"

"Baiklah, nanti hal itu saya akan tanyakan kepada Nabi Musa a.s.," jawab Abdullah Syarafi. Lalu dia meneruskan perjalanannya pula.

Sepertiga perjalanan lagi akan sampai ke Mesir, maka ia bertemu pula dengan seorang perempuan yang tinggal di dalam sebuah gua batu. Perempuan itu dalam kira-kira setengah umur, tua belum, muda terlampau, Ia diam di sana seorang diri, mengasingkan dirinya itu ber'uzlah, dalam melakukan ibadatnya siang dan malam tiada henti-hentinya.

Terpegun Abdullah Syarafi  dengan kagumnya berhenti di muka pintu gua melihatkan perempuan itu sedang beribadah dengan khusyu'nya. Sesudah perempuan itu selesai dari sembahyang dan melihat ada seorang laki-laki muda berdiri di muka pintu guanya memperhatikan ia beribadat; terkejutlah ia dan dengan marahnya ia membetak: "Apakah maksudmu berdiri di muka pintu guaku ini. hai laki-laki? Adakah tujuanmu hendak mengganggu aku dalam melakukan ibadat kepada Tuhanku? Celakalah engkau...

"Tidak, tidak. Maksudku tidak hendak mengganggumu melakukan ibadatmu," sahut Abdullah Syarafi dengan tenangnya. Dan tidak pula aku berniat jahat terehadapmu. Hanya aku amat hairan memikirkan keadaan kakak di sini berdiam seorang diri, di tempat yang amat lengang dan jauh daripada manusia."

"Tidakkah kakak takut? Bahkan mulanya saya menyangka, kalau-kalau kakak bukanlah manusia biasa, tetapi barangkali jin atau para penghuni rimba ini. Dari itulah, maka saya terdiri di sini melihatkan kakak melakukan ibadat. Cubalah kakak ceritakan kepada saya, kenapakah sebabnya melakukan demikian ini?"

"Engkau ini dari mana dan tujuannya hendak ke mana?" tanya perempuan itu pula.

Maka diceritakannnyalah ole Abdullah Syarafi maksud tujuan perjalanannya dari semula ia melangkah dari kampungnya "Qiryah" di hulu  sungai Nil, sampai ia ke tempat itu untuk menuju Mesir untuk berjumpa Nabi Musa a.s

Perempuan itupun menceritakan pula kepadanya akan halnya maka ia berada di situ mengasingkan diri dari manusia ramai untuk melakukan ibadatnya. Diterangkannya, bahawa ia berasal dari Mesir juga serta ada juga mempunyai rumahtangga, suami dan anak-anak.

Tetapi lantaran khuatir bahawa harta benda, rumahtangga dan anak-anaknya itu akan menghalanginya daripada melakukan ibadatnya kepada Tuhanm itulah sebabnya maka ia mengasingkan dirinya ('uzlah) ke tempat yang sunyi sepi itu.

"Aku senang di sini asyik beribadat, siang berpuasa, malam beramal. Hidupku hanya semata-mata untuk Tuhanku. Tidak lagi aku khuatir akan terganggu oleh urusan rumahtanggaku, suami dan anak-anak, juga oleh masyarakatku. Tolong pulalah engkau tanyakan kepada Nabi Musa a.s.", demikian pesannya kepada Abdullah Syarafi , "adakah Tuhan menerima sekelian amal ibadatku itu dan memasukkan aku ke syurga kerana sudah demikian banyaknya amalanku itu.....?"

"Baiklah," kata Abdullah Syarafi pula, serta ia pun meneruskan langkahnya ke Mesir supaya segera dapat berjumpa dengan Nabi Musa a.s.

Sesampainya di Mesir dan setelah dapat berjumpa dengan Nabi Musa a.s., maka dinyatakannyalah ujud maksud kedatangannya, hendak mencari sampai bertemu Tuhan, supaya tentu benar olehnya siapakah Tuhan yang akan disembahnya itu. Dalam pada itu tidak pula ia lupa buat menyampaikan ketiga macam pertanyaan yang dipesankan oleh ketiga macam orang yang telah ditemuinya dalam perjalanannya itu.
 
JAWAB NABI MUSA A.S.
"Hai Abdullah Syarafi!
 
Engkau fikirkan dan engkau tiliklah akan sifat-sifat dan makhluk bekas kekuasaan Allah itu, dan janganlah sekali-kali engkau memikirkan Zat-Nya, tidak akan terfikirkan juga olehmu! Tetapi senantiasalah akan engkau dapati wujud Allah itu dalam segala bekas kekuasaan-Nya.
 
Segala alam yang terbentang ini, termasuk juga kejadian dirimu sendiri adalah menjadi saksi dan petanda akan adanya Tuhan.
 
Dari manakah engkau dan semua makhluk yang sudah ada ini telah datang dan ke manakah nanti akan perginya...
 
Wahai Abdullah Syarafi," demikian Nabi Musa a.s memberi keterangan selanjutnya, " Jangankan untuk menemui wujudnya Zat Tuhan itu, yang memang sudah sengaja di ghaibkan-Nya kepada semua kita sekarang ini entah kalau nanti dizahirkan-Nya di akhirat; kalau hijab sudah diangkatkan-Nya, maka sesuatu yang berada dalam tubuh kamu sendiri pun yang kamu pastikan adanya serta kamu rasakan dan kamu dapati bekas-bekas adanya, juga tiadalah dapat kamu menemui wujud zatnya itu, yakni ruh (nyawa/jiwa) kamu sendiri.'
APA LAGILAH ZAT "DIA" YANG TELAH MENGADAKANKAN
SEGALANYA ITU.
Jikalau Allah s.w.t itu menzahirkan Zat-Nya pula kepada ummat manusia sekarang ini, apakah gunanya lagi tugas kami sebagai Rasul utusan-Nya untuk menyampaikan khabar ghaib yang wajib diimani itu?
 
Maka nyatalah, bahawa ghaibnya Zat Tuhan, jadi suatu ujian langsung bagi imannya seorang hamba....."
 
Termenunglah Abdulllah Syarafi mendengarkaan huraian yang tepar dari Nabi Musa a.s itu, dan meresaplah ke dalam lubuk hati dan jiwanya akan kebenarannya.
 
"Dan kemudian daripada itu, sehubungan dengan tiga macam pertanyaan dari ketiga golongan yang engkau temui itu, keterangannya ialah seperti berikut:
 
Adapun yang ditimbulkan oleh Hakikat Iman seseorang manusia itu ialah adanya empat macam sifat pada dirinya: Dua yang wajib diingati dan Dua yang wajib dilupakan.
 
Maka dua yang wajib diingati, ialah jasa-jasa yang diterima terutama nikmat Allah terhadap dirinya. Dan kedua, ialah kesalahan-kesalahan dan kejahatan dirinya terhadap orang lain, termasuklah amal-amal dan ibadatnya kepada Allah s.w.t.
 
Serta dua macam yang wajib dilupakan, ialah jasa-jasa dan kebaikan dirinya kepada orang lain, termasuklah amal-amal dan ibadatnya kepada Allah s.w.t.
 
Serta yang kedua, akan kesalahan-kesalahan dan kejahatan orang terhadap dirinya.
Dari itu, wahai Abdullah Syarafi, adapun orang yang engkau temui menderita di dalam rimba itu sengsara dengan sebab kekejaman-kekejaman dan penganiayaan orang ke atas dirinya, maka ia telah mengingat-ingati akan yang wajib dilupakan. Dan kebalikannya ia telah melupakan apa yang wajib diingati. Diingat-ingatnya kejahatan penyamun yang dialaminya, tetapi ia melupakan jasa-jasa semut yang telah disuruhkan Allah buat menghantarkan makanan ke mulutnya, Maka dengan demikian itu dia tidaklah mempunyai Hakikat Iman dan dari itu dia tidaklah akan masuk syurga.
 
Begitu pula tentangan perempuan yang engkau temui mengasingkan diri ke dalam rimba di gua batu yang sunyi itu.
 
Ketahuilah bahawasanya agama itu disyari'atkan Tuhan kepada ummat manusia, ialah untuk membawakan ajaran dan petunjuk-petunjuk hukum bagi mereka, bagaimana adanya perlakuan hubungan dengan Allah dan hubungan antara manusia (hablun minallahi wa hablun minan nasi)
 
Nyata pulalah dengan tindakannya memencilkan dirinya meninggalkan rumahtangga, suami dan anak-anak serta masyarakatnya itu, suatu tindakan putus asa, yang dengan sendirinya ia merosakkan ajaran agamanya sendiri kerana ia telah memutuskan hubungannya dengan manusia.
 
Padahal, menahankan kesusahan kerana perhubungan dengan manusia itu, baik berupa hubungannya dalam melayani kepentingan suami sendiri, anak-anak atau masyarakatnya, adalah yang demikian itu termasuk amal dan ibadat jua baginya. Dan itu pulalah yang menjadi isi di antara ajaran-ajaran agama kepada manusia.
 
Dan lagi makanya Tuhan mengharamkan bunuh-membunuh dan peperangan terjadi, ialah kerana akibatnya memusnahkan isi dunia, memutuskan perhubungan antara manusia dan memutuskan keturunan. Sedangkan tujuan Tuhan ialah supaya dunia ini diramaikan dengan manusia.
 
Jadi kalau sama sajalah pendapat segala manusia dengan perempuan itu, yang laki-laki tidak hendak beristeri dan yang perempuan tidak pula hendak bersuami lagi, maka tentulah dengan sendirinya, paling lama sesudah satu keturunan yang akan datang ini, akan putuslah keturunan manusia, mereka akan musnahlah dari permukaan bumi. Dari itu, samalah dosanya dengan membunuh orang banyak.
 
Lagi pula yang dikehendaki oleh Hakikat Iman, ialah melupakan jasa-jasa diri, termasuk amalan dan ibadat kepada Tuhan, Maka sikap perempuan itu menonjol-nonjolkan ibadatnya, seakan-akan ia telah melagaki Tuhan dengan ibadatnya itu.
 
Teranglah dengan demikian, dia pun tidak mempunyai Hakikat Iman. Kerana itu ia tidaka akan masuk syurga, malahan masuk ke dalam golongan isi Neraka.
 
Tetapi tentangan penyamun yang sembilan orang itu, mereka telah mengakui kesalahan-kesalahannya. Bahkan mereka telah saling merasa takut akan hukuman dan siksaan, akibat daripada dosa-dosanya itu. Maka jesteru kerana itulah mereka telah menanyakan tentang taubat kepada Aku. Jikalau tidaklah kerana keinginan hendak bertaubat, tentulah tidak itu yang akan ditanyakannya.
 
Sedangkan Allah s.w.t. tidak pernah menutupkan pintu taubat buat sekalian hamba-Nya (kecuali dosa Syirik), sekalipun dosa-dosanya itu memenuhi gawang langit kerana banyaknya.
 
Dari itu, dengan demikian merekalah yang mempunyai Hakikat Iman. Dan jikalau mereka meneruskan taubatnya itu, maka merekalah yang akan masuk Syurga..."
~Demikianlah kisah itu "Kisah  Mencari Tuhan"~
EMPAT DALIL MENCARI TUHAN
SESUAI dengan "jiwa" dari buku kecil ini , maka sengajalah dicantumkan di sini apa yang telah dinyatakan oleh Buya Doktor HAMKA dalam bukunya: Pelajaran Agama Islam dari halaman 42.
EMPAT DALIL.
Dalil Pertama: DALIL KEJADIAN.
Manusia telah ada dalam dunia. Namun manusia mengakui bahawasanya dia terjadi bukanlah atas kehendaknya. Bukanlah dia yang menjadikan dirinya. Dan bukan dia pula yang membuat anaknya. Bumi tempatnya tegak pun bukanlah dia yang membuatnya. Dia hanya telah mendapati saja bumi itu ada. Langitpun didapati telah menjadi atap tempat berlindung dan tangan kita tidak ikut membinanya.
Ada beberapa orang manusia sekali-sekali menyombong, lalu mendakwakan dirinya Tuhan yang Maha Kuasa pula, Sebenarnya semua orang pun mudah saja mendakwakan demikian, meskipun menjadi sehelai bulu romanya sajapun dia tidak sanggup dan mampu. Teranglah sudah, bahawasanya mengadakan dan menimbulkan sesuatu daripada tidak ada kepada ada, tidaklah ikut campur tangan manusia, atau binatang atau tumbuh-tumbuhan. Dan terang pulalah, bahawasanya segala sesuatu tidak ada terjadi sendirinya. Asalkan fikiran sihat, walaupun belum tinggi dan belum menjadi ahli ilmu pengetahuan yang mendalam, nescaya sekali lintaspun akan mengaku bahawasanya semuanya ini  Ada Yang Menjadikan.
 
~Memang ada yang Maha Kuasa, ada Allah ; ada Tuhan.~
Bangsa Arab yang mula-mula menerima Quran, dalam masyarakatnya yang masih sederhana, dianjurkan melihat unta, bagaimana dia dijadikan. Melihat langit, bagaimana ia diangkatkan. Melihat bukit-bukit, bagaimana ia dipancangkan. Melihat bumi, bagaimana dia dihamparkan! Dan setiap orang atau setiap bangsa yang berakal, dengan melihat kejadian alam sekelilingnya, akan dapatlah dia bertanya: " Siapakah yang menjadikan ini?" Dan senantiasa akan terjawab: "Ada Tuhan! "
 
Dalil Kedua: DALIL PERATURAN DAN PEMELIHARAAN
Masuk seorang ke dalam sebuah rumah. Di dapatinya meja teratur, kamar tersusun, makanan terhidang, tempat tidur bersih dan ada pula ruang makan dan ruang menerima tetamu. Ada kamar mandi dan kakusnya.
Apatah lagi kalau dilihatnya teratur perkarangan, penanaman bunganya, teratur susunannya. Maka mafhumlah orang itu bahawa yang membuat rumah ini dan menyusunnya adalah seorang ahli, seorang Akitek yang bekerja dengan sekolah. Bukan  kerja asal kerja saja. Segala sesuatu diukur dengan ilmu ukur yang dipelajari masak-masak, diukur dengan rasa dan periksa.
Lalu dipandanglah alam sampai ke lapan ufuknya. Dilihat benda dengan masing-masing ketentuannya, Dilihat manggis tumbuh berdekatan dalam setampok tanah dengan durian. Rasa manggis tetap manggis, rasa durian tetap durian, dan tidak pula buah-buahan lain tiruan manusia yang dapat menyamainya usahkan melebihinya.
Dipelajarinya Ilmu Kimia, dipelajarinya ilmu tumbuh-tumbuhan dan ilmu binatang dan Ilmu Alam, seluruh yang dapat diketahui (fizikal). Bertambah dalamnya ilmu dalam setiap cabang dan bidangnya, bertambah terasalah bahawa manusia hanya mengetahui yang telah sedia ada, tidak lebih.
Manusia tidak dapat membuat lebih bagus daripada itu, atau menciptakan yang sama dengan itu atau melebihi dan mengurangkan daripada yang telah tersedia.
Cakerawala yang luas dihiasi dengan bintang-bintang yang berkelip-kelip. Matahari terbit setiap pagi dan terbenam setiap petang. Bulan sejak sehari bulan, lalu purnama 1 hari dan lalu susut lagi. Bintang di langit bersilih datang. Semuanya itu menurut peraturan yang tertentu. Peraturan yang tertentu itu dapat menjadi ilmu pasti, iaitu Ilmu Hisab. Tidak ada yang selisih dan tidak pernah berkacau.
Alhasil, ke julat dan ke sudut yang mana juga pun insan menghadapkan mukanya kelihatanlah bahawa segala sesuatunya ini setiap saat ada yang memeliharanya. Sudah pasti bahawa yang memeliharanya ini sangat pintar, sangat awas dan tidak pernah lalai dan tertidur.
Al-Quran pun sangat menganjurkan agar mempergunakan akal dan fikiran buat merenungkan segala keajaiban alam itu.
Maka adalah manusia-manusia istimewa iaitu yang berilmu pengetahuan kerana dapat mengetahui agak sekelumit kecil daripada rahsia alam yang tersembunyi itu.
Ta'jublah kita melihat, kerana peraturan yang berlaku adalah satu coraknya. Peraturan yang berlaku pada sistem perjalanan matahari dengan daerah bintang-bintang yang mengelilinginya, berlaku juga dengan persis pada atom yang kecil dan wilayah daerah kekuasaannya.
~Adapun aturan, memastikan dalam fikiran manusia adanya;
 Pengatur, Pemelihara dan Penjaga.~
 
Dalil Ketiga: DALIL GERAK
Dalamkan sedikit lagi renungan atas gerak alam itu!
Mengapa matahari ini tidak pernah terjatuh (padahal dia sangat besar dan sangat berat), mengapa bintang-bintang ini tidak pernah berkisar (berlaga)?

Bola disepakkan anak-anak melambung tinggi ke udara, akhirnya kembali juga ke tanah. Sebab ringan dia terapung ke atas dan sebab berat dia turun ke bawah. Mengapakah matahari dan bulan tetap begitu saja, tidak pernah jatuh ke bawah padahal dia berat.
Sebanyak itu bintang di langit tak terhitung, tak sekali juga berlaga, tak sekali juga berbentur di antara satu sama lain. Padahal beratus-ratus mobil di kota-kota besar, telah diatur demikian rupa, memakai polisi lau-lintas yang sampai mengalir keringatnya menjaga segala sesuatunya yang terjadi pelanggaran senantiasa kejadian juga.
Sudah menjadi ilmu pengetahuan yang pasti tentang undang-undang:
" Yang berat turun yang ringan terapung."
Padahal yang lebih besar dan lebih berat iaitu bumi sendiri, matahari, bulan dan bintang-bintang, menjadi kesaksian yang nyata pulam sehingga mana hanya berlakunya undang-undang itu.
~Mahu atau tidak mahu, ilmu atau bukan ilmu, semuanya itu seakan-akan bersorak menyerukan nama:
ALLAH, ALLAH!~
Cuma si pekak juga yang tidak mendengar.
 
Dalil Keempat: DALIL PERUBAHAN
Tidak syak lagi bahawasanya kewujudan setiap kita di muka dunia ini adalah mempunyai permulaan.
Sebelum kita dilahirkan, kita ini tidak ada apa-apa. Kaki, tangan, telinga, mulut, rambut, tulang , segalanya ini tidak ada. Segala anasir-materi yang ada pada kita yag kita terbentuk daripadanya inipun semuanya berpermulaan pula sebagai kita.
Ahli-ahli Geologi telah menyatakan hasil penyelidikan, bahawasanya alam ini telah sekian ratus milion tahun umurnya. Batu ini ditaksir sekian milion tahun! Tanah ini sekia milion pula wujudnya! Alhasil, berapa milion tahunpun dikatakan nyatalah bahawa sebelum perhitungan ahli Geologi itu segala sesuatunya ini kosong, belum ada apa-apa.
Pertengkaran dan bertukar fikiran idea di antara ahli-ahli falsafah lama, setengah menyatakan bahawa madah materi ini tidaklah akan fanam tidaklah akan habis. Yang ada hanya bertukar sifat keadaannya saja. Pendirian inilah yang dipertahankan oleh mereka yang mengatakan bahawa alam ini QADIM adanya dan BAQA pula. Disinilah sebab perselisihan yang menyebabkan Al-Ghazali menghentam ahli falsafah.
Di antara yang mempertahankan ahli falsafah ini adalah Ibnu Rusydi (Averoes). Sekarang runtuhlah teori yang demikian itu. Runtuh oleh pendapat tentang meletus dan pecahnya zarah (atom). Runtuh lagi setelah diperdapat Zat yang bernama anti-proton, yang akan menghancur-leburkan proton pada atom itu sehingga tidak ada lagi, hilang tak tentu ke mana perginya.
Alam ini mesti fana, mesti berakhir , habis dan lebur, meskipun anak kunci peleburan itu idak diberikan Tuhan ke tangan Ahli Sarjana!
Tetaplah, bahawa wujud kita di dunia ini, terjadi kemudian. Dahulu kita tidak ada. Dan benda pengambilan kejadian kita pun dahulunya tidak ada. Matahari itupun dahulunya tidak ada.
Maka mustahillah akan "pindah" saja daripada "Adam" (tidak) kepada wujud (ada), hanyalah dengan kemahuan sendiri-sendiri.
Yang terbiasa dalam cara manusia berfikir ialah, kalau terjadi suatu hal yang tidak diketahui siapa pembuatnya, kita katakan:
"Tak tahu siapa yang membuat".  Dan kita tak berkata: "Tak ada yang membuat".
Maka kalau suatu kejadian biasa, selalu dipertautkan oleh fikiran di antara kejadian dengan yang menjadikan, apakah penumpuan dan pengecohan akal yang lebih buruk lagi daripada memungkiri perhubungan makhluk dengan khaliknya di antara alam dengan Tuhannya?
Dahulu kita tidak ada, kemudian kita ada. Sesudah ada kita akan tiada pula. Siapakah yang menentukan demikian itu? Jawablah : Tuhan. (Adakah jawab yang lain daripada itu?)....
Demikianlah empat dalil itu.
Berkata Ulama-Kalam (Tauhid) : "Kullu 'aalamin mutaghaiyirun, wakullu mutghaiyirin haaditsun"..
Ertinya: Tiap-tiap alam itu berubah-ubah. Dan tiap-tiap yang berubah-ubah itu baharu.
Kata HAMKA lagi (Pelajaran Agama Islam, hal. 32): "Yang tetap kelihatan ialah perubahan," Perubahan itulah ketetapan alam ini. Daratan dan lautan berubah. Gunung dan bukit, bahkan gunung Himalaya yang terkenal, pun senantiasa berubah.
Himalaya yang sekarang, bukanlah Himalaya yang kelmarin dan nantipun bukan lagi yang sekarang. Ilmu Geologi telah dapat mengetahui, bahawa peraturan yang tetap dalam alam ialah berubah. Bumi ini sendiripun, melalui lebih dahulu perubahan-perubahan yang beribu-ribu, bahkan milion tahun, baru mencapai kepada bentuk dan keadaan yang sekarang.
Mazhar (kesan) yang dipermainkan oleh air, sejak dari hujan, sungai, sampai kepada lautan, sampai air itu naik lagi ke udara, gerak yang hebat seperti gempa bumi kerana tanah runtuh di dalam perut bumi atu kerana letusan gunung berapi, ini tenaga yang dinamai "listrik", semuanya itu dicari "sebab akibatnya" oleh Sarjana.
Illat ditafsirkan dengan illat yang lain. Sebab dicari pula sebabnya. Namun akhir dari perjalanan mengumpul sebab dan akibat, mesti tertumbuk kepada pertanyaan yang tak dapat dijawab lagi.
Kita berdiri di tepi laut, Kita lihat ombak bergulung. Lalu kita bertanya:
Mengapa ombak ini bergulung?
Kerana udara!"
Mengapa udara bergerak?
"Kerana hawa panas!"
Dari mana datangnya panas itu?
"Dari matahari!"
Siapa yang meletakkan panas pada matahari?
.....DIAM! (Orang yang tiada berTuhan.)
"ALLAH!" (Kata orang beragama)


DARI SUDUT YANG MANA MENCARI TUHAN?
"Pelajaran Agama Islam" menyoroti dari beberapa segi, Diantaranya:-
 
1. SEGI KEINDAHAN DAN SENI
Menurut penyelidikan AHLI ILMU JIWA, adalah jiwa kita manusia ini mempunyai tiga sudut yang penting di alalam memperhubungkan diri kita dengan ALAM...

Pertama : PERASAAN
Kedua: FIKIRAN
Ketiga: KEMAHUAN
 
Katanya, apabila PERASAAN kita yang lebih terkemuka dari antara ke tiga sudut itu, maka kita akan menjadi seorang SENIMAN.
 
Dan apabila FIKIRAN yang lebih terkemuka, inilah alamat orangnya akan menjadi PAHLAWAN atau seorang PEMIMPIN yang terkemuka dalam bangsanya atau seorang AHLI AGAMA yang membawa faham pembaharuan.
 
Maka apabila kita cenderung ke dalam seni dan keindahan (aestetika), cubalah rasai adanya ALLAH di dalam keindahan ALAM. Fikirkanlah, siapakah dan apakah kekuatan atau tenaga yang menyebabkan keindahan ini, sehingga nampak pada segala sesuatu dengan tersusun dan teratur?
 
Pandanglah DIA di dalam kebebasan laut dan kebebasan bukit dan gunung. Keindahan matahari seketika terbit dan seketika terbenam. Dalam keindahan bentuk dan keindahan warna. Sehinggapun angin sepoi-sepoi yang melambai-lambai pada rumpun bambu di pinggir hutan, sehingga menimbulkan kicut pergeseran di antara batang dengan batang yang lain, pun mengandung ajaibnya keindahan.
 
Alam yang luas itu kelihatan hening, tetapi DIA sentiasa bekerja. Makin dipandang makin nampak sesuatu keganjilan ( yang menakjubkan).
 
Rasa SENI akan bangkit melihat fajar menyingsing, dan tidak lama kemudian matahari pun terbit, dan margasatwa berbunyi bersahut-sahutan.
 
Engkau lihat embun pagi menyentak naik, dan semangat baru meliputi alam sekitarmu. Engkau seakan puas, meskipun tidak minum. Engkau seakan-akan kenyang meskipun tidak makan. Bahkan hempasan ombak ke tepi pantai, diiringkan oleh angin laut nyaman seakan memandikan jiwa kita sendiri.
 
Bilamana hari telah malam, kita lihat pula bintang bergerak di halaman langit. Doa berkelip-kelip seakan-akan orang tersenyum, dan disenyuminya ialah kita. Melihat itu semuanya, bukanlah sedikit kesannya kepada jiwa kita sendiri. Seakan-akan kita telah menjadi ahli waris dari alam itu dan kitapun jatuh cinta kepadanya.
 
Kerana dari dialah timbul keindahan yang telah merekam ke jiwa kita. Kesudahannya kitapun cintalah kepada diri sendiri, sebab diri itu mencintai alam. Dalam terharu yang bersangatan lantaran terpesona oleh keindahan alam tidak tahu-tahu terlompatlah dari mulut kita ucapan yang betul-betul keluar dari hati : "ALLAH".
Suatu keindahan yang tidak putus-putuslah alam itu, Kita pun bersyukur dapat mengenal dan mengecap keindahan itu. Terasalah bahawa diri kita sendiri adalah sebahagian daripada Alam. Bertambah terang pulalah "mata" kita melihat Alam. Dan tidak ada ucapan lain yang sekaligus dapat mencetuskan apa yang terasa dari dalam hati kita, selain dari kalimat: "Alhamdulillahi Rabbil 'Aalamiin"
 
Itulah intisari kehidupan SENIMAN.

FIKIRAN, ILMU DAN FILSAFAT
 
Bertambah lanjut fikiran dan ilmu, bertambah ta'jublah kita melihat ganjil dan hebatnya undang-undang atau peraturan yang ada dalam alam ini. Ilmu kita hanya dapat mengetahui adanya aturan itu. Tetapi kita sendiri tidak dapat menciptakan yang lebih indah dari itu.
 
Kita hanya dapat menyusun aturan baru yang tidak boleh keluar dari acuan yang asli dalam alam itu. Dari pintu manapun kita boleh masuk! Baik dari logika atau dari Ilmu Hitung tertinggi (wijskunde). Dari Ilmu Ukur (meetkunde) atau kimia dan dari mana saja. Sejak dari atom yang sehabis-habis besar kecil sampai kepada matahari yang sehabis-habis besar dalam lingkungan alam kita, dan beribu matahari dalam lingkungan alam lain. Sejak dari pasir halus, sampai kepada bukit dan gunung. Sejak dari bumi sampai ke langit. Pada kesemuanya itu terdapat aturan umum, menurut yang terdapat pada zarrah (atom) yang paling kecil. Peredaran proton, neutron dan elektron dalam lingkungan (yang berbentuk ellips) pada atom itu sama aturannya dengan peredaran matahari kita dengan bintang-bintang sayyarahnya. Sehingga yang satu dapat dikiaskan kepada yang lain.
 
Setiap maju ilmu pengetahuan itu selangkah lagi ke muka, setiap bertemu pulalah undang-undang baru, yang tadinya belum dikenal. (Dan memberikan ilmu Allah akan manusia, apa yang tadinya dia belum mengetahuinya. Al-Quran, Surah Al’Alaq ayat 5).
 
Sehingga Openheimer, Sarjana Atom Amerika yang terbesar itu takjub melihat revolusi yang ada dalam kalangan ilmu pengetahuan, yang membukakan kemungkinan-kemungkinan baru dan besar, yang selama ini tidak dapat dikira-kirakan.
Teori “relatif” yang dikemukakan oleh Einstein, bagi orang yang beriman menambah lagi imannya, bahawasanya kekuasaan mutlak hanya terletak di tangan Tuhan. Apalagi setelah ahli fisik yang terkenal. Marcel Schen mendapat pula teori baru yang bahawasanya proton ada lawannya iaitu, “Anti-proton”. Bilamana bersentuh proton dengan anti-proton itu, maka keduanya akan saling meledak, hancur-menghancurkan. Kerananya anti –proton dapat menghancurkan segala benda yang tersusun daripada proton. Ya, termasuk bumi dan segala isi bumi!
 
Maka kalau selama ini agama mengajarkan bahawa kiamat mesti datang, dengan majunya ilmu pengetahuan itu, maka iman kitapun jadi bertambah. Teori Marcel Schein ini menghilangkan keraguan-keraguan akan adanya hari kiamat itu. Selama ini kita tidak dapat memikirkan tentang adanya kemusnahan. Kita berfikir tentang perubahan keadaan benda, walau undang-undang yang tersembunyi di dalam alam itu belum diketahui, bukanlah ertinya dia tidak mempunyai aturan, melainkan kitalah yang “belum tahu aturan”.
Kalau kita ingkari bahawa undang-undang itu ada pada seluruh yang ada, yang ganjil dan dahsyat, ertinya kita memungkiri adanya ilmu pengetahuan itu sendiri. Sebab ilmu pengetahuan ialah mencari dan mengetahui undang-undang itu. Dan dengan demikian, filsafat pun harus kita mungkiri adanya. Sebab akhir dari ilmu adalah awal dari filsafat.
 
Tidak syak lagi, bahawasanya alam ini diatur dengan undang-undang yang dapat diterima oleh dasar hukum yang ada dalam akal kita sendiri. Kalau undang-undang itu tidak dapat diterima oleh akal, itupun lebih mustahil. Sehingga bolehlah ditegaskan bahawasanya memungkiri adanya akal, samalah ertinya dengan memungkiri adanya alam.
 
Sebab itulah maka Al-Farabi mengatakan bahawasanya perjalanan seluruh alam ini diatur oleh dengan “AL ‘AQLULAWWAL” (Akal Pertama). Yang dikatakan kosmos, atau Yang Ada, atau Al Koun, ialah benda, gerak, ruang dan waktu dan undang-undang.
(Semuanya itu dikatakan: “AL-KAAINAAT “ - TENTU ADA PENGATURNYA )
 
Akal sendiri berhenti hingga itu. Yang apabila ada undang-undang pasti ada pembuat undang-undang. Dari pintu manapun kita masuk, kita pasti tertumbuk kepada kepastian adanya PENGATUR.
 
Kalau kita katakan itu adalah hanya thabiat (natuur wet) dari alam itu sendiri, yang bebas merdeka di dalam benda, bukan diluarnya, maka berbilanglah kebebasan dan kemerdekaan sebanyak benda, tegasnya sebanyak zarah itu.
Mengapa zarah itu sama aturannya, padahal masing-masingnya bebas? Kalau kita sendiri telah sepakat begitu nampaklah bahawa masing-masingnya tidak ada yang merdeka lagi, kerana telah terikat oleh sesuatu yang bernama kesepakatan.
Kalau dikatakan bahawasanya natuur wet (undang-undang) dalam benda itu, bebas bertindak sendiri-sendiri maka wujud itupun kacaulah, tidak ada persesuaian, kerana tidak ada yang mengatur, ertinya tidak ada aturan, padahal aturan itu tidak ada.
 
Kalau dikatakan bahawa kemahuan zarah itu bersamaan (paralel), nyatalah bahawa sampai ke hujung masing-masingnya tidak akan bertemu. Padahal dalam segalanya jelas pertemuan!

 
Kalau dikatakan persamaanya itu adalah kebetulan, sebab semuanya merdeka, timbul pula keraguan kembali atas kemerdekaannya itu. Sebab kemerdekaan masing-masingnya hanya dapat dibuktikan jka kita melihat perlainan jalannya. Sebab itu memutuskan bahawa Pengatur itu tidak ada, adalah memutuskan suatu fikiran dalam kekacauannya. Sebab lebih sangat sukar mengatakan bahawa zarah itu mengatur dirinya sendiri; dan lebih sukar lagi jikalau dikatakan bahawa zarah itu menjadikan dirnya sendiri atau terjadi sendiri.

Kalau ditetapkan pula suatu kemungkinan, bahawa Pengatur itu memang ada, dan bebas daripada benda, ruang, waktu dan berbuat sekendaknya, maka dengan sendirinya kita memindahkan kesulitan memikirkan benda kepada kesulitan memikirkan Pengatur.

Kalau sudah itu yang difikirkan sendirinya kitapun keluarlah dari hukuman yang selama ini menjadi pedoman menggunakan akal iaitu “sebab-akibat” [causal]. Sebab hukum sebab-akibat hanya dapat dipakai dalam alam dan akal itu sendiri pun termasuk alam juga.

Maka nyatalah, bahawa akal tak kuasa, tidak “completent” buat sampai ke daerah itu. Perjalanannya hanya hingga itu. “ Ada Yang Mengatur”. Titik!.

Terpaksalah kita pulang kembali ke alam tadi. Dan itu lebih baik, sebab di setiap-tiap sudutnya ada undang-undang yang dahsyat. Satunya melebihi yang lain. Yang jelas nampak ialah ketentuan ‘ATURAN’ di mana saja!

Seperti perumpamaan berikut:

Anak baru lahir, belum bergigi,  - Ada susu!

Gigi sudah tumbuh, tetapi masih lunak, - Ada pisang!

Pencernaan sudah mulai kuat, gigi pun sudah kuat tumbuhnya, - ada nasi! dan sebagainya.

Setiap bahagian dari tubuh manusia ada tugasnya sendiri-sendiri. Diri manusia adalah kerajaan kecil, tempat segala makhluk meniru meneladan di dalam mendirikan kerajaannya. Ditekan pada “Alif”, mengontal sampai “Yaa!”.
 
MENGENALI TUHAN DENGAN MENGENALI SIFAT-SIFATNYA
Selanjutnya dalam Pelajaran Agama Islam – HAMKA hal. 102 dinyatakan:
 
Dengan insaf akan kelemahan diri kita manusia dalam kehidupan yang terbatas ini dapatlah kita mengenal akan kekuatan Tuhan dan Dialah yang sebenarnya hidup, yang kekal yang abadi.
Maka adalah suatu sabda Rasulullah S.A.W:
 
“MAN ‘ARAFA NAFSAHU FAQAD ‘ARAFA RABBAHU”
(Barangsiapa mengenal akan dirinya, nescaya kenallah ia akan Tuhannya)
Sebutan ini sangatlah menjadi buah tutur bagi kaum Sufi (Ahli Tasawwuf). Maka Imam Ibnul-Qayyim menyatakan tafsiran ucapan ini kepada tiga hal:
Mengenal kita akan segenap sifat-sifat kelemahan yang ada pada diri kita, maka insaflah kita akan kekuatan yang ada pada Tuhan. Insaf kita akan hidup kita di dunia yang hanya menjelang “mati” ini, maka kenallah kita bahawa hanya Tuhanlah yang tidak mati-mati. Insaf kita akan terbatasnya kesanggupan kita, maka kenallah kita akan maha luasnya kekuasaan Illahi.
2. Mengenal Tuhan dengan menilik sifat-sifat-Nya yang da pula dianugerahkan-Nya kepada kita. Sedangkan kita lagi melihat, kononlah Tuhan. Sedangkan kita lagi mendengar, kononlah Tuhan. Sedangkan kita lagi tahu, kononlah Tuhan.
Inilah MA’RIFAT DENGAN MENGENAL NIKMAT-NIKMATNYA.
3. Mengenal Tuhan dengan merenung siapa diri kita. Siapa sebenarnya diri kita ini? Siapa yang “AKU” ini? Apakah sebenarnya “NYAWA” ini dan apakah sebenarnya “AKAL” ini? Dari manakah kita ini datang dahulunya? Di atas kehendak siapakah maka kita sampai di dunia ini? Dan mengapakah akhirnya kita mesti mati?....
Maka soal-soal di sekeliling: jiwa, nyawa, roh, nafsu, akal, “AKU”, lahir, hidup dan matim itu semuanya adalah soal-soal “RAHSIA” yang ada di sekeliling kita, yang sulit untuk dipecahkan. Sedangkan diri kita sendiri lagi sulit, kononlah Tuhan.
Inilah dia yang dikatakan “MA’RIFAT”, yang menjadi intisari pemikiran dari segala macam ilmu pengetahuan, filsafat dan pandangan hidup. Inilah maksud ucapan Nabi S.A.W : “Barangsiapa yang mengenal akan dirinya, nescaya kenallah ia akan Tuhannya” itu.
Jadi bukanlah beerti sebagaimana yang diertikan oleh segolongan “ahli” tasawwuf  yang “tidak ahli”, bahawa diri itulah yang Tuhan. Na’udzu billahi min dzalik!.
Maka diberinya pula kita tontonan oleh Rasulullah dengan katanya: “Tiliklah olehmu akan sifat-sifat Tuhan dan janganlah kamu hendak menilik dzat Tuhan itu. Bahawa rosak kamu kelak. (Tidak juga akan terfikirkan olehmu Dia!”
MENCARI TUHAN DALAM KEINDAHAN ALAM
Pada suatu hari di waktu subuh, sudah lama Bilal melakukan azan di masjid Madinah, namun Nabi S.A.W. belum juga keluar dari dalam gubuknya. Maka pergilah Bilal menjelang baginda, kerana cemas kalau-kalau baginda sakit. Maka masuklah Bilal ke dalam. Di dapatinya Nabi S.A.W. sedang duduk termenung menangis.
Lalu Bilal bertanya: “Ya Pesuruh Allah, gerangan apakah sebabnya paduka menangis? Padahal kalau ada juapun kesalahan tuan baik yang lama atau yang baru, sudah tentu alan diampuni Tuhan.”
Lalu apa jawab Rasulullah? “ Wahai Bilal! Tengah malam tadi telah datang kepadaku Jibril membawakan wahyu Tuhan demikian bunyinya:”
Firman Allah yang bermaksud : “ Bahawa pada kejadian langit dan bumi dan pergranitan malam dan siang titu, sesungguhnya menjadi pertanda (bukti-bukti adanya Allah dan kekuasaan-Nya) bagi orang-orang yang punya akal budi.”….(baca hingga akhir ayat) Celakalah bagi orang yang membaca ayat-ayat itu, tetapi tidak memikirkannya.”
Maka firman Illahi dan ajaran Nabi itu, senantiasa mengandungi ajakan agar kita senantiasa merenungkan keadaan di sekeliling kita keindahan yang meliputi akan segalanya. Jiwa yang suci bersih dapatlah mendengar dan melihat indahnya alam sekeliling itu. Di sana terdapat tiga sifat Tuhan. Iaitu Pertama: JAMAL ertinya Indah. Kedua: JALAL ertinya Agung. Dan Ketiga: KAMAL ertinya Sempurna.
Semua yang ada ini adalah dinding yang membatas kita dengan Dia. Tetapi bilamana kita dengan jiwa yang kuat sudi menembus dinding itu, yakni dengan penglihatan rohani yang bersih, nescaya akan terbukalah hijab itu. Hanya mata yang lahir ini saja yang melihat batas itu, melihat gunung menjulang, ombak berdebur, awan mengepul di udara, kembang mekar dan indah. Adapun mata rohani mulailah menembus dinding itu, bukan dinding lagi yang kelihatan, tetapi ialah Pencipta dari segalanya itu adanya, ialah ALLAH!
Bila kita berdiri di tepi lautan yang maha luas itu, berjumpalah hijaunya laut dengan hijaunya langit. Kapa dan bahtera belayar laksana sabut kecil saja di antara ombak dan gelombang yang bergululng-gulung di atas pasir yang putih, demi terasalah kecilnya diri di hadapan kebesaran alam, Terloncatlah dari mulut: “ALLAH!”.
Setelah kita membaca beberapa cerita orang-orang yang mencari Allah, namun masih tidak terlintas atau terbayang keadaan ZAT ALLAH  TAALA itu. Sekarang sanpailah masanya penulis nota ini sendiri  menceritakan pengalaman mencari Allah.
Penulis adalah penuntut di sekolah Arab beberapa tahun hingga berhenti sekolah, namun tentang Mengenal Allah tetap jauh dari diperolehi, biasanya  bagi mereka yang ingin Mengenal Allah, cari dan mencari hingga terasa dekat benar hendak kenal Allah, tiba-tiba terasa nun jauh entah di mana jadinya.
Asas mengenal Allah hendaklah banyak berguru, ertinya jangan belajar hanya dengan satu guru. Lagi banyak adalah lebih baik dan juga banyakkan membaca buku-buku dan kitab-kitab Ilmu Tauhid dan Ilmu Tasawwuf. Hanya dua kitab inilah sahaja yang dapat menunjuk jalan Mengenal Allah. Dari segi amalannya pula ialah amalan “Tharikat” sahaja yang dapat Mengenal Allah.


NAMA-NAMA KITAB ATAU BUKU YANG PATUT DIBACA:
1. Kitab Al-Quran
2. Kitab Dars Samin
3. Kitab Akidatun Najin
4. Kitab Kasful Asrar
5. Kitab Usul Tahkik
6. Kitab Kasful Ghaibiah
7. Kitab Miftah Huljannah
8. Kitab DarunNafis
9. Kitab Pembukaan Kepada Ghaib
10. Kitab Tazkiratul Aulia
11. Kitab Ramuan Ilmu Tasawwuf
12. Kitab Mengenal Diri Dan Waliullah
13. Kitab Prinsip Ketuhanan
14. Kitab Israk Dan Mikraj Nabi Muhammad S.A.W. Berjumpa Allah
15. Kitab Memahami Jalan Menuju Allah
16. Kitab Berita Alam Ghaib
17. Kitab Mengenal Allah
18. Kitab Mencari Allah
19. Kitab Melihat Allah
20. Kitab Tharikat Naqsabandiah Siri 1,2,3 Dan 4.
Apa yang Penulis perkatakan dan persembahkan di dalam pelajaran Mengenal Allah ini boleh dikatakan hampir semuanya ada di dalam salah satu kitab yang disebutkan namanya di atas tadi.
 
SYARAT-SYARAT MA’RIFAT ADA EMPAT:
1. Yakin
2. Dalil
3. Kekal
4. Akal Baligh
Di dalam kitab munakib Syeikh Abdul Kadir Jailani, tatkala ia hendak mati, Allah berkirim surat kepadanya. Surat itu dibawa oleh Malaikat Izrail. Surat itu diterima oleh anaknya Abdul Wahab.
Rasulullah pernah bertanya kepada seseorang hamba Habsyi perempuan yang hitam legam:“Di mana Allah?” Hamba itu menjawab dengan isyarat dan menunjukkan ke langit,
“Siapa aku ini?”  Hamba itu memberi isyarat yang Allah mengutusnya menjadi Rasul.
Rasulullah bersabda, “Hamba ini beriman!”
AMALAN HENDAK MENGENAL ALLAH
Bersalawat Nabi sebanyak sepuluh ribu kali (10,000 kali) sehari semalam tiap hari, InsyaAllah dapat kenal Allah dalam masa dua tahun.







Sumber : Koleksi Kitab Peninggalan Ayahanda Allahyarham Us. Ali Badri Bin Syeikh Ismail Al-Khalidi
 An-Naqsyabandiah
 
( ILMU MENGENAL ALLAH)
~Al-Fatihah~ 
                      

"BELAJAR ILMU AGAMA ITU FARDHU (WAJIB), TUNTUTLAH ILMU DENGAN BERGURU"

Labels: